Perak Hari Ini

Mempertahankan Kemurnian, Kesucian dan Keagungan Syiar Islam Tanggungjawab Bersama: Sultan Nazrin

Oleh Siti Norain Usop:-

Mempertahankan kemurnian, kesucian serta keagungan syiar Islam merupakan amanah serta tanggungjawab besar yang wajib disempurnakan sebaik mungkin dan tidak boleh dikompromikan, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah, tanggungjawab tersebut hendaklan dilaksanakan secara bijaksana lagi bestari, baik dalam bentuk lisan begitu juga melalui tindak-tanduk yang dilakukan oleh umat Islam terutamanya melalui institusi yang diamanahkan dengan urusan hal ehwal Islam.

Umat Islam dan institusi yang berkaitan titahnya, wajib memperlihatkan contoh teladan terbaik ketika memenuhi tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan melaksanakannya secara amanah, jujur, adil lagi saksama.

“Umat Islam wajib mencerminkan minda ilmu dan berperibadi mulia. Imej Islam perlu dicerminkan melalui gerak kerja yang berlandaskan unsure-unsur keinsanan serta sifat-sifat kemanusiaan bersandarkan hikmah dan bertimbang rasa.

“Keagungan agama Islam jangan sama sekali dicemarkan kerana adanya tindak tanduk bersifat impulsif lagi ofensif yang didorong naluri kerana sesungguhnya ia amat tidak bijaksana,” titah Sultan Nazrin sempena Persidangan Ke-187, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di Ipoh, hari ini.

Sultan Nazrin bertitah lagi, warga Malaysia yang terdiri pelbagai agama, kaum, budaya dan hakikat ini wajib hakikat tersebut dan memahaminya kerana Islam bukan sahaja pegangan aqidah beragama malah ia adalah addin, budaya dan tatacara adab kehidupan yang lebih menyeluruh.

Islam amat mengutamakan keadilan, mementingkan keharmonian, menganjur perdamaian sama sekali tidak membenarkan perlakuan berunsurkan penindasan, titah baginda lagi.

“Untuk itu umat Islam dan institusi yang bertanggunjawab dalam hal ehwal Islam perlu peka kepada sensiviti umat Islam dan pada masa yang sama, orang-orang bukan Islam pula wajib memahami serta menghormati sensitiviti umat Islam.

“Mereka hendaklah sensitif akan perasaan umat Islam apabila mereka memilih untuk mengupas apatah lagi ketika mengkritik secara terbuka mengenai perkara-perkara menyentuh hukum hakam Islam serta seruan ILAHI yang terkandung di dalam Al-Quran dan juga panduan kehidupan yang terkandung dalam sunah Rasul,” Nazrin bertitah lagi.

Sementara itu, Sultan Nazrin juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menyempurnakan urusan kemangkatan ayahanda baginda merangkap mantan Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Shah yang mangkat pada 28 Mei yang lalu.

“Beta menzahirkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Kerajaan Negeri Perak, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta pelbagai agensi, institusi, pertubuhan dan individu yang terlibat baik secara langsung atau terselindung ketika mengendalikan urusan pemakaman Almarhum Azlan Muhibbudin Shah Al-Maghfur-lah.

“Beta juga amat tersentuh menyaksikan begitu ramai kalangan rakyat jelata daripada pelbagai lapisan, pegangan agama serta kaum yang datang dan beta percaya kebanyakan mereka tidak pernah menemui Almarhum secara peribadi semasa hayat Almarhum tetapi secara khusus mereka telah mempamerkan semangat kasih setia rakyat kepada batang tubuh seorang Raja Pemerintah yang telah mangkat.

“Secara simboliknya, mereka mempamerkan sifat kesetiaan serta mendukung kelangsungan institusi pemerintahan berteraskan Raja,” titah Nazrin lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");