Membawang Hari Ini

Menangis sekuat hati dalam stadium

khir

“Pernah sekali saya dan isteri (Allahyarham Datin Azizah Muhamad) membawa Khir ke satu persembahan yang ketika itu usianya baru lima tahun.

“Apabila tiba giliran saya menyanyi, Khir yang berada atas pangkuan saya diserahkan pada ibunya dan tiba-tiba dia menangis sekuat hati sampai kedengaran satu stadium kerana masa itu saya pegang mikrofon. Sejak itu, saya tak bawa dia
di mana-mana acara lagi,” imbas Datuk A Rahman Hassan mengenai anak sulungnya itu.

Khir, 41 atau nama sebenarnya Khairulizam Datuk Abdul Rahman adalah anak sulung daripada tiga bersaudara. Dua lagi adiknya, Khairulilmi, 39, dan Khairulazmi, 36.

Ketika era kegemilangan pop yeh yeh pada 1964 hingga 1970, dia dan Azizah belum berkahwin dan sama-sama aktif dalam kumpulan Nirwana. Ketika itu, A Rahman masih belasan tahun.

Jejak Bintang mendekati beberapa insan paling rapat dengan Khir untuk bercerita mengenai dirinya, sejak kecil. Orang itu tidak lain daripada bapanya, A Rahman Hassan dan rakannya. Ikuti siri Jejak Bintang kali ini yang dicatatkan wartawan Norakmar Samudin ([email protected]).

Khir suka lukis kartun

Menurut bapanya, A Rahman, walaupun dia dan arwah isteri dikenali ramai, tetapi Khir tetap membesar seperti kanak-kanak lain.

“Khir seorang anak yang bijak dan memiliki daya kreativiti yang tinggi sejak kecil. Ketika usianya setahun lebih, dia sudah boleh mengira, tetapi dia ‘takut’ dengan kamera. Setiap kali orang nak mengambil gambarnya, mesti dia menangis. Sekarang benda yang paling ditakutinya menjadi ‘kawan karibnya’ sekarang.

“Ketika usianya empat tahun dia sudah boleh melukis kartun dan suka buat kraf tangan yang kadang–kala benda yang dia buat jauh daripada jangkaan saya. Kemudian pada 1978, kami sekeluarga berpindah ke Kuala Lumpur dan ketika dia mula memasuki alam persekolahan sebenar, dia menonjolkan bakatnya dalam bidang seni iaitu, nyanyian dan lakonan,” katanya.

A Rahman berkata, dia berkahwin dengan Azizah ketika berusia 23 tahun dan ketika era pop yeh yeh tidak lagi begitu gemilang.

“Meskipun begitu, Nirwana masih mendapat undangan membuat persembahan di seluruh negara. Khir dilahirkan pada 12 Mac 1973 iaitu selepas empat tahun usia perkahwinan kami.

“Waktu itu saya bekerja di Kota Tinggi, Johor sebagai Pegawai Kerani di pejabat pos dan setahun kemudian saya ditukarkan ke Pekan, Pahang menjawat jawatan baru sebagai Pegawai Kebudayaan, Belia dan Sukan daerah Pekan. Nirwana masih bergerak aktif di Johor Bharu.

Bercerita lanjut zaman persekolahan Khir, A Rahman berkata, anaknya itu sering membuat persembahan dalam sebarang acara yang diadakan di sekolah rendah dan menengah.

“Ketika di sekolah menengah dia melukis monumen di dinding sekolah. Khir yang kemudiannya menyambung persekolahan tingkatan empat dan lima di Sekolah Victoria Institution, semakin aktif dalam bidang seni.

“Khir banyak masuk pertandingan drama dan menang. Daripada lima kategori yang dicalonkan dia menang empat kategori iaitu Skrip Terbaik, Drama Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Pengarah Terbaik. Gurau A Rahman, kategori yang dia tak boleh menang waktu itu ialah Pelakon Wanita Terbaik,” katanya.

Masuk pertandingan ‘breakdance’

A Rahman berkata, dia tidak menghalang minat Khir dalam bidang seni asalkan dia melakukannya bersungguh-sungguh dan buat yang terbaik.

“Dia juga pernah masuk pertandingan ‘breakdance’ yang sangat popular pada era 90-an. Sebelum dia melanjutkan pengajian di USM (Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang) dia me–nyertai pertandingan nyanyian anjuran DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan menang.

“Khir memiliki bakat seni yang besar, dia juga boleh bermain gitar. Sewaktu menuntut di USM, dia juara pertandingan nyanyian dan pernah menang Pengarah Filem Pendek Terbaik antara universiti,” katanya.

Kata A Rahman lagi, pada 1998 – 1999, ketika Saleem menghadapi masalah, Khir pernah menggantikan tempatnya bersama Iklim dan dia merakamkan album penuh 10 lagu bersama kumpulan itu. Pada 2005 Khir menghasilkan album solo yang semua lagu adalah ciptaannya sendiri.

“Bekas Presiden Universal Music Group International (South East Asia) Sandy Monteiro, pernah memuji bakat seni Khir sehingga di berkata Khir adalah Datuk M Nasir yang kedua, tetapi sayangnya Khir tidak memberi sepenuh tumpuan pada bidang muzik. Dia pernah cipta lagu untuk Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Jamal Abdillah dan lagu raya nyanyian Liza Hanim. Khir juga menyanyikan lagu mengenang kehilangan MH370 yang asalnya adalah sajak ciptaan rakan baiknya, Pnut Shafinaz.

“Dalam beberapa filem lakonannya seperti Rock dan Rock Oo, dia ada me–nyanyi. Namun, sekarang dia tiada masa lagi mencipta lagu kerana kesibukannya mengarah drama/filem dan berlakon,” katanya.

Filem lakonan Khir, Puteri Gunung Ledang, Hikayat Merong Mahawangsa, Kapoww!!, Lembing Awang Pulang Ke Dayang, Los Faun, Cuci, Gubra, Rock, Pontianak Harum Sundal Malam 2, Potret Mistik dan Rentaz dan drama pula, Kasih Ke Syurga, Cahaya, Mingguan Lelaki, Pabila Larut Malam dan Oh Yeah!. Manakala filem arahannya yang menjadi sebutan sehingga kini, …Dalam Botol.

Barangkali, kehebatan Khir dalam pelbagai cabang seni kurang yang tahu kerana dia tidak pernah berbangga diri. Ini kerana A Rahman menitipkan pesanan kepada anaknya itu agar jangan bersikap riak.

“Kalau kita berasakan diri kita bijak dan bagus, ramai lagi di luar sana yang lebih hebat daripada kita. Tunjukkan kemampuan diri menerusi kerja, bukannya bercakap tin kosong. Ikutlah seperti kata pepatah, ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya,” katanya.

Khir yang tidak menghabiskan pengajiannya di USM, meneruskan pelajarannya di UiTM dalam pengkhususan perfileman. Dia juga nyaris berhenti dari pusat pengajian itu kerana tidak percaya cara pengajaran tenaga pengajar di sana.

“Mereka minta pendapat pelajar, tetapi akhirnya segala pandangan itu tidak diterima pakai langsung. Bagaimanapun, saya nasihatkan dia supaya terus belajar kerana dunia sekarang, pengalaman tanpa segulung ijazah tidak boleh membawanya pergi jauh. Lantas dia meneruskan pengajian sehingga tamat dan selepas itu dia belajar di Aswara (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan) sekejap.

“Saya dengar dia dapat tawaran menjadi pensyarah, namun ditolak kerana jiwanya lebih kepada bidang lakonan terutama teater,” katanya.

Sepanjang pembabitannya dalam bidang seni, A Rahman menyimpan keratan akhbar dan majalah mengenai anak sulungnya itu. Selepas dikumpul, A Rahman serahkan kepadanya.

“Jumaat adalah hari untuk keluarga di mana kami akan solat jemaah. Sebagai bapa saya doakan Khir terus maju jaya dan dikurniakan rumah tangga yang aman bahagia sehingga akhir hayatnya dan isteri, Siti Jasmina Ibrahim.

“Moga rumah tangga yang saya bina bersama arwah ibunya yang mana kami ‘berpisah mati’ menjadi contoh kepada Khir,” katanya.

-METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");