Isu Panas

MIC, MCA beri sokongan kepada LPHJ

siew

JOHOR BAHRU – Rakyat Johor perlu memberi sokongan kepada pengenalan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) yang bertujuan membantu masyarakat mengenai soal pemilikan hartanah di negeri sendiri.

Ketua Pemuda MIC Johor, S Hareedaven berkata, pengenalan lembaga itu merupakan kesinambungan daripada kehendak rakyat yang terdapat dalam salah satu perkara fokus Pelan Suara Hati Johor iaitu menyediakan rumah mampu milik.

“Maka untuk itu, bagi melaksanakan fokus tersebut, sebab itulah kerajaan negeri berhasrat untuk memperkenalkan LPHJ supaya matlamat untuk memastikan lebih banyak rumah mampu milik di bina di negeri Johor dapat dicapai.

“Pemuda MIC Johor kecewa kerana ada pihak tidak bertanggungjawab cuba memutarbelitkan fakta dan mengelirukan rakyat negeri ini berhubung enakmen LPHJ,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Hareedaven berkata, tidak timbul soal kononnya LPHJ diperkenalkan untuk memberi kuasa pentadbiran kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semata-mata.

Katanya, sebaliknya matlamat utama adalah untuk menjaga kepentingan rakyat negeri ini, malah Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sudah menegaskan bahawa beliau masih memegang kuasa eksekutif dan apa sahaja kuasa diberi kepada Sultan Johor adalah selari dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor.

“Oleh itu, Pemuda MIC Johor ingin mengingatkan semua pihak supaya tidak mudah terperangkap dengan taktik kotor pembangkang yang sememangnya sentiasa mencari peluang untuk menyerang bukan sahaja kerajaan negeri, tetapi institusi beraja di negeri ini.

“Apatah lagi portal berita pertama yang mendedahkan mengenai perkara itu adalah Malaysiakini yang dipersoalkan kredibiliti berita mereka,” katanya.

Justeru, katanya, Pemuda MIC Johor mengajak seluruh rakyat Johor supaya terus memberi sokongan dalam setiap usaha-usaha murni yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri untuk mensejahterakan rakyat di negeri ini.

Terdahulu, enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) bertujuan untuk kemajuan dan pembangunan sektor perumahan dan hartanah di negeri ini, di luluskan Dewan Negeri Johor, 9 Jun lalu.

Sementara itu, MCA negeri akan menggerakkan jentera bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman di kalangan pemimpin dan masyarakat Cina di negeri ini mengenai Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) yang diluluskan Sidang Dewan Negeri, 9 Jun lalu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan, Datuk Tee Siew Kiong berkata, usaha itu perlu dilakukan bagi memastikan penubuhan LPHJ tidak dipolitikkan pihak tertentu sehingga mengelirukan rakyat.

“Penubuhan LPHJ merupakan satu usaha kerajaan negeri untuk membantu rakyat antaranya dengan membina lebih banyak rumah mampu milik yang akan memberi manfaat kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

“Tetapi usaha ini telah dipolitikkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Oleh itu, MCA negeri akan menggerakkan jentera bagi memberi penerangan secara jelas tentang tujuan dan manfaat yang akan dinikmati rakyat menerusi penubuhan lembaga ini,” katanya selepas merasmikan Pejabat Pesakit Antarabangsa (IPO) dan Majlis Penghargaan Pemandu Teksi di Hospital Pakar KPJ Johor, di sini semalam.

Terdahulu, LPHJ diluluskan selepas pindaan Rang Undang-Undang enakmen itu mengenai peranan Raja dalam penubuhannya dibentang di dalam Sidang Dewan Negeri Ke-13.

Siew Kiong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri berkata, pihaknya akan mengadakan sesi penerangan ke seluruh daerah dalam masa terdekat dan berharap usaha yang diambil dapat mencapai objektif ditetapkan.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");