Jenayah

Militan: Ditamatkan perkhidmatan jika sah terlibat

abdul aziz

KUALA LUMPUR – Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ditahan polis di Sandakan, Sabah pada 13 Jun lepas kerana disyaki terbabit kegiatan militan akan ditamatkan perkhidmatan serta-merta jika disahkan terlibat.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, bagaimanapun pihaknya perlu menunggu hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas anggota TLDM yang berpangkat Laskar Kanan itu sebelum sebarang tindakan diambil.

“Kes ini sedang disiasat dan kita tidak mahu ganggu PDRM. Bagi pihak kita (TLDM), kita tidak akan berkompromi.

“Jika telah terbukti anggota kita terlibat, barulah kita ambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Komander Pusat Latihan Tentera Laut Negara Pasifik kelima di sini, hari ini.

Beliau berkata anggota TLDM yang berasal dari Semenanjung Malaysia itu berkhidmat dengan angkatan tentera lebih 10 tahun lalu, dan baru sahaja mendirikan rumah tangga pada 29 April lepas.

“Perkara ini paling mendukacitakan kerana kita telah melatih anggota supaya setia pada perkhidmatan dan negara. Namun masih ada yang menjadi ‘duri dalam daging’ terlibat dengan aktiviti yang jelas bertentangan dengan perlembagaan dan perkhidmatan TLDM,” katanya.

Abdul Aziz berkata malah TLDM mempraktikkan ‘sistem pegawai bahagian’ yang mana setiap pegawai bahagian dipertanggungjawabkan setiap bulan mengenal pasti sebarang masalah yang dihadapi anggotanya.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin baru-baru ini berkata, anggota TLDM itu merupakan seorang daripada tiga individu yang ditangkap kerana disyaki membantu anggota militan menyusup masuk ke Sandakan dan melindunginya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");