Berita Hari Ini

Minyak masak: KPDNKK belum terima aduan

kdnkk

TANAH MERAH – Tiada aduan diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Tanah Merah berhubung kekurangan bekalan minyak masak dan tepung gandum di daerah ini.

Pegawai Penguat kuasa KPDNKK cawangan daerah ini, Hashim Hassan berkata, setakat ini belum ada mana-mana pihak termasuk peruncit dan peniaga tampil membuat aduan mengenai masalah kekurangan bekalan dua bahan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, pihaknya akan melakukan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan bekalan dua barangan itu mencukupi.

“Sesiapa yang ada maklumat boleh memaklumkan kepada pihak kami supaya kita boleh minta pemborong hantar bekalan ke kawasan berkenaan,” katanya.

Hashim memberitahu, sekiranya timbul masalah kekurangan bekalan dua barangan itu, ia mungkin berpunca daripada tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyeludupnya ke negara jiran.

“Pemborong tidak ada masalah dari segi bekalan tetapi ada yang lebih suka menghantarnya ke kawasan sempadan seperti Rantau Panjang kerana barang keperluan ini cepat habis dijual.

“Tambahan pula menjelang Ramadan dan hari raya, barangan keperluan seperti minyak masak dan tepung gandum di kawasan sempadan lebih cepat habis,” katanya.

Ditanya masalah sebuah kedai runcit di Manal yang mendakwa terputus bekalan minyak masak sejak sebulan lalu, Hashim berkata, dia akan meminta pembekal segera menghantar bekalan bahan itu ke kawasan terbabit.

Sementara itu di RANTAU PANJANG, bekalan minyak masak dan tepung mencukupi menjelang Ramadan dan Aidilfitri.

Timbalan Pengarah PPDNKK Kelantan Ab Ghani Harun berkata, pihaknya tidak menerima laporan kekurangan bekalan itu.

Menurutnya, semua anggota PPDNKK memantau keperluan itu bagi memastikan tidak berlaku insiden kekurangan bekalan.

“Jangan dengar khabar angin sepertimana yang berlaku di Utara kerana pemborong di negeri ini amat berdisiplin, “katanya.

Di KUALA KRAI, bekalan minyak masak berkurangan sejak dua hari lalu, sementara tepung gandum tidak berdepan masalah berdasarkan pemantauan Pasukan Pemantau Harga Majlis Harga Barang Malaysia.

Ketua Cawangan KDNKK Kuala Krai, Rosli Ismail berkata, kebiasaannya menjelang Ramadan, bekalan mencukupi kerana mesyuarat akan diadakan bersama pemborong dan pembekal utama di Kelantan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");