Jenayah

Mohon polis beri penjelasan

asisten komisioner mohd roze shaari

KLUANG – Penduduk mulai bimbang dengan beberapa kes penculikan dikatakan berlaku di daerah ini yang dipapar di laman sosial Facebook dan memohon pihak polis memberi penjelasan.

Berdasarkan laporan disebarkan individu di laman sosial itu, didakwa pada 24 Jun lalu berlaku kejadian penculikan seorang remaja bernama Nor Fatin Fazriani Mohd Daud, 13, dipercayai menaiki kereta jenis Proton Iswara berwarna merah dengan nombor pendaftaran JDF 9954.

Pengadu, Abdul Hamid Dahlan, 44, berkata, penyebaran berita yang tidak diketahui kebenarannya itu telah tersebar meluas dan ramai pengikut Facebook yang melakukan perkongsian mengenai berita berkenaan.

Menurutnya, walaupun berita berkenaan memaparkan nombor telefon ayah mangsa, namun nombor berkenaan gagal dihubungi, malah mesej pesanan ringkas juga tidak dibalas.

“Dengan penyebaran berita tidak diketahui kebenarannya itu menimbulkan kebimbangan kepada masyarakat di sini, khususnya berkaitan keselamatan anak-anak yang pergi dan balik sekolah setiap hari.

“Jadi, kami menggesa pihak polis menyiasat kebenaran laporan berkenaan selain memaklumkan kepada masyarakat umum sekiranya ia benar-benar berlaku atau sebaliknya, serta tindakan pihak polis untuk menangani masalah ini jika ia berlaku,” katanya.

Abdul Hamid berkata, gejala penyebaran maklumat tidak sahih kebenarannya semakin berleluasa dan perlu dipantau serta diambil tindakan oleh pihak bertanggungjawab agar tidak menimbulkan kebimbangan kepada masyarakat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Roze Shaari ketika mengulas mengenai kes berkenaan berkata, berita disebarkan di dalam laman sosial itu sebenarnya tidak berlaku pada 24 Jun lalu tetapi awal April.

“Kejadian ini bukan diklasifikasikan sebagai kes culik. Ia berlaku April lalu malah, berita mengatakan remaja berkenaan diculik seperti yang disebarkan adalah tidak benar.

“Berdasarkan fakta kes, gadis tersebut keluar rumah bersama teman lelakinya tanpa kebenaran ibu bapanya.

“Satu laporan polis telah dibuat pada hari kejadian, namun gadis ini telah balik semula setelah menghilangkan diri selama empat jam dan dipercayai bersiar-siar bersama teman lelakinya,” katanya.

Mohd Roze berkata, kes berkenaan telah ditutup kerana ibu bapa remaja berkenaan telah menarik semula laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.

“Pihak polis memandang berat berhubung penyebaran maklumat palsu ini dan akan sentiasa memantau setiap maklumat yang disalurkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");