Perak Hari Ini

MRSM Felda Trolak Jadi Makmal Pertama Latih Guru STEM

PERAKTODAY7

Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) FELDA Trolak, dekat Sungkai akan menjadi makmal pertama di negara ini yang melatih guru dalam bidang pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Selain itu, makmal terbabit juga akan dijadikan sebagai galeri dan rujukan berhubung program STEM yang dipelopori pihak Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ia merupakan antara tiga inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi meningkatkan penguasaan murid dan pelajar khususnya generasi kedua FELDA dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.

Terdahulu, Perdana Menteri merasmikan Perkhemahan BITARA STEM di MRSM Felda Trolak, dekat Sungkai yang dihadiri ribuan murid dan pelajar yang juga merupakan generasi kedua FELDA dari seluruh negara.

Hadir sama, Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad; Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali.

Sebagai pelopor, Jabatan Pembangunan Pendidikan Generasi FELDA dengan kerjasama UKM katanya, memperkenalkan program Bitara STEM bagi melahirkan generasi muda yang menguasai ilmu sains, teknologi, kejuruteraan dan Matematik.

Jika rakyat tidak menguasai bidang ilmu terbabit, negara akan menjadi mundur dan bakal menghadapi persaingan yang hebat dalam era ekonomi yang berteraskan ilmu pengetahuan, katanya lagi.

“Program Bitara STEM ini juga diharap dapat melahirkan generasi muda yang kreatif dan inovatif memandangkan pencapaian murid dan pelajar dalam bidang berkenaan masih jauh ketinggalan,” katanya lagi.

Jelas Perdana Menteri lagi, berdasarkan Program Penilaian Antarabangsa Pelajar (PISA) bagi tahun 2009-2012, kedudukan Malaysia dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik berada di tangga satu pertiga tercorot ke bawah.

Bagi penafsiran kreatif pula, pada tahun 2012, Malaysia berada di kedudukan 39 daripada 44 buah negara yang menyertai program terbabit manakala untuk program penilaian matematik pula, negara berada di kedudukan 26 daripada 42 negara pada tahun 2011.

“Selain itu, kajian kita mendapati 38 peratus pelajar yang berusia 14 tahun gagal mendapat markah minimum dalam subjek Matematik dan Sains,” katanya lagi.

Bagi meningkatkan penguasaan murid dan pelajar dalam bidang STEM, Kementerian Pendidikan dan FELDA juga katanya, berganding bahu mewujudkan satu inisiatif nasional dikenali sebagai Pusat Pembelajaran Sains (PPS} di 14 buah sekolah yang beroperasi di tanah rancangan FELDA.

Pusat yang pertama katanya, beroperasi di SMK FELDA Jengka 2, dekat Pahang yang diwujudkan untuk merealisasikan sasaran nisbah 60:40 pengambilan pelajar aliran sains berbanding pelajar aliran kemanusiaan dan sosial.

Jelas Perdana Menteri lagi, bagi memastikan lebih ramai murid dan pelajar mendapat manfaat daripada program ini, makmal STEM akan diperluaskan lagi di setiap wilayah FELDA dengan dilengkapi dengan kemudahan dan peralatan yang serba canggih.

Sebagai dorongan, 10 murid dan pelajar terbaik program STEM akan berpeluang menyertai karnival peringkat antarabangsa di New York, Amerika Syarikat, kata Najib lagi.

Program Bitara STEM UKM merupakan inisiatif di bawah Global Science and Innovation Advisory Council (GSIAC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia sendiri. Program ini merupakan salah satu Program Berimpak Tinggi GSIAC iaitu Human Capacity Building dan Cradle to Career (C2C). Bagi merealisasikan agenda C2C ini, pada bulan September 2013, satu MoA telah ditandatangani di antara UKM dengan NYAS dan NYU-Poly bagi melaksanakan program Bitara STEM iaitu Science of Smart Cities.

Konsep Program Bitara STEM ini adalah adaptasi daripada konsep pendidikan STEM oleh National Science Foundation (NSF) dengan kerjasama American Association for the Advancement of Science (AAAS) dalam usaha untuk membangunkan STEM di Amerika Syarikat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");