Berita Hari Ini

Pantau penyakit berkaitan jerebu

pekerja dalam jerebu

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri sedang menjalankan pemantauan penyakit berkaitan jerebu.

Menterinya Datuk Seri Dr S Subramanian berkata pemantauan itu dilakukan di klinik sentinel terpilih di negeri yang dilanda jerebu.

“Antara penyakit yang berkaitan jerebu seperti jangkitan saluran pernafasan (URTI), asma dan sakit mata,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Menurut Subramanian lagi semua klinik kesihatan dan hospital dimaklumkan supaya sentiasa bersedia menghadapi bilangan pesakit yang mungkin bertambah kesan daripada fenomena berkenaan.

“Kita turut akan memastikan ubat-ubatan dan peralatan perubatan termasuk penutup hidung dan mulut sentiasa berada dalam keadaan mencukupi bagi memastikan semua pesakit mendapat rawatan sempurna.

“Orang ramai juga dinasihatkan mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan dengan mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah selain memakai penutup hidung mulut serta meminum air kosong,” katanya.

Menurut beliau berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan Pindaan 2014 sekolah, tadika dan taska boleh ditutup sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 dan lebih 48 jam.

“Pihak sekolah yang terbabit dengan jerebu tidak perlu mendapat arahan daripada KKM bagi menutup sekolah,” katanya.

Sementara itu, IPU melalui 52 stesen pengawasan kualiti udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati semua kawasan direkodkan mengalami IPU baik dan sederhana.

Sehingga jam 5 petang semalam kawasan yang direkodkan mengalami IPU tidak sihat kelmarin seperti Pelabuhan Kelang; Cheras, Kuala Lumpur; Shah Alam; Putrajaya; Nilai; Petaling Jaya; dan Batu Muda, Kuala Lumpur turun kepada IPU sederhana iaitu antara 51 sehingga 100 habuk halus (PM10).

Sebanyak 13 kawasan berada dalam IPU baik termasuk Kota Tinggi, Johor (31); Langkawi (49); Bandaraya Melaka (47); Kangar, Perlis (44), Kota Kinabalu, Sabah (49), dan Kuching, Sarawak (50).

Manakala 39 kawasan mencatat IPU sederhana antaranya Pelabuhan Kelang (87), Putrajaya (81), Shah Alam (84), Cheras (83), Seri Manjung, Perak (89) dan Bakar Arang, Sungai Petani, Kedah (77).

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");