Membawang Hari Ini

Pasang surut cinta Fathia

fathia

Hubungan cinta Nur Fathia Abdul Latif, 27, dan Aiman Hakim Ridza, 25, bukan lagi rahsia. Kebanyakan peminat menyifatkan pasangan ini secocok, ibarat pinang dibelah dua.

Namun, adat dalam hubu­ngan cinta pasti ada pasang surutnya. Kadangkala sejuk bak salji, ada ketikanya panas persis lahar gunung berapi.

Gaduh manja, cemburu tak bertempat, merajuk dan segala macam situasi pasti mewarnai hubungan. Penawar bagi segala rasa itu tidak lain tidak bukan, saling percaya dan menerima kekurangan masing-masing.

Begitu juga dengan pasangan selebriti popular ini yang pernah bertikam lidah hingga merajuk beberapa hari.

Terbaru, Fathia dan Aiman dikatakan bergaduh besar berikutan ada anasir luar cuba menabur fitnah melalui komen pada gambar aktres itu dalam satu blog hiburan tempatan.

Lebih perit, minggu lalu, Aiman khabar­nya memaki hamun Fathia kerana percayakan komen negatif seorang pelawat laman blog hiburan terbabit.

Walaupun kata-kata dihambur Aiman tidak dapat disahkan secara terperinci, sumber rapat SELEBRITI memaklumkan, ia sa­ngat kasar dan boleh menjatuhkan air muka Fathia.

Saat ditanya mengenai perkara itu, Fahtia enggan mengulas lanjut, namun tidak menafikan wujud pasang surut dalam hubungan mereka.

“Hubungan kami masih okay walaupun ada pasang surutnya. Soal jodoh, kita tidak tahu apa akan berlaku pada masa akan datang. Bercinta bertahun-tahun pun, andai tiada jodoh tidak ke mana juga.

“Bercinta tidak semestinya berakhir de­ngan perkahwinan. Justeru, saya tidak meletak apa-apa harapan terhadap hubungan ini,” katanya.

Melihat pelajar jurusan perundangan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini banyak menepis soalan membabitkan cinta, fokus perbualan beralih pula kepada desas-desus dia sering ponteng kuliah dan memperoleh markah rendah dalam peperiksaan akhir semester lalu.

“Markah saya okey. Setakat ini atas 2.0, kalau tidak, pasti saya digugurkan. Tidaklah teruk seperti didakwa! Namun, saya akui kadangkala tidak masuk kelas kerana bertembung dengan penggambaran.

“Saya akan maklumkan pensyarah dan ganti balik melalui kelas tambahan persendirian atau sesi sebelum itu saya akan berhubung dan bercakap dengan pensyarah mengenainya dan ganti balik melalui kelas tambahan persendirian atau sesi ‘meet-up’,” katanya.

Jelas Fathia, walaupun tidak menghadiri kuliah dan keputusan peperiksaan tidak sehebat pelajar lain, dia belum pernah mengulang pengajian.

Masih berbaki dua semester, Fathia enggan mensia-siakan pengajian kerana percaya ilmu adalah bekalan paling penting untuk masa depannya.

Apatah lagi kitaran populariti artis di Malaysia bukan lama berikutan saban hari ada saja bakat baru muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

Selagi diterima peminat dan ada permintaan, dia akan meneruskan kariernya dalam arena seni tanah air, namun jika tertulis takdirnya perlu berundur, dia masih ada jaring selamat (safety net) kerana memiliki kelayakan menceburi bidang perundangan atau perniagaan.

“Tidak semestinya jadi peguam atau buka firma guaman sendiri. Saya juga boleh jadi penasihat undang-undang atau meneroka bisnes lain,” kata Fathia yang kini menjalani penggambaran drama bersiri Diaspora Cinta bersama Afiq Muiz dan Zain Saidin di Turki.

Bercerita lanjut mengenai Diaspora Cinta, pelakon utama drama popular, Ariana Rose ini mengakui menerima tawaran itu kerana sudah lama tidak beraksi untuk RTM.

“Kali terakhir berlakon untuk RTM hampir empat tahun lalu. Selepas kejayaan Ariana Rose, saya penat dan lebih memilih tawaran.

“Saya hanya sempat berlakon untuk telefilem dan penuhi jadual fotografi akhbar dan majalah,” katanya yang akan pulang ke tanah air pada 12 Jun ini.


Bijak urus kontroversi

Kemunculannya dalam dunia lakonan pada 2009 mendapat perhatian, malah ramai menjangka dia bakal bergelar bintang popular.

Ternyata ramalan itu benar belaka, tetapi impak diterima tidak seindah disangka apabila kontroversi demi kontroversi hadir bertimpa-timpa.

Belum habis kisah pergaduhan dengan seorang produser terkenal diperkatakan, Fathia berdepan pula dengan desas-desus tidak berdisiplin, bersikap diva dan besar kepala.

Dia juga dikecam apabila sering hadir lambat ke lokasi peng­gambaran dan sesi fotografi bersama media.

Apabila perkara itu dibangkitkan, tegas Fathia, artis mana yang tidak terpalit kontro­versi.

“Saya sudah lali dengan kontroversi. Saya bukan jenis cepat melatah setiap kali dikaitkan dengan isu kurang menye­nangkan.

“Sejak kecil saya banyak dengar dan baca cerita kontroversi artis. Bagi saya, kontroversi asam garam dunia hiburan.

“Jadi setiap kali nama dikaitkan de­ngan kontroversi, saya bersikap tenang-tenang saja. Tak perlu terlalu ikut perasaan kerana makin dilayan, ia akan jadi makin besar,” katanya.

Pun begitu, anak jati Ayer Hitam, Pulau Pinang ini mengakui ada masanya dia penat asyik berdepan kontroversi tidak berkesudahan. Ia secara tidak langsung menjadi peringatan dia tidak akan berada lama dalam industri.

“Saya mahu semua orang fikir positif mengenai saya. Mereka tidak tahu apa berlaku sebenarnya, tetapi saya percaya rakyat Malaysia semakin bijak menilai.

“Mereka tidak akan percaya bulat-bulat jika hanya sebelah pihak bersuara. Syukur, walaupun dihujani pelbagai cerita negatif, peminat masih setia menyokong saya.

“Merekalah sumber kekuatan saya selain keluarga dan teman rapat,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");