Berita Hari Ini

PDRM, ATM bergilir ketuai operasi Esscom bermula 1 Julai – KPN

Tan sri khalid abu bakar

Tanggungjawab operasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) akan diketuai secara bergilir antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula 1 Julai ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata giliran akan dilakukan untuk selama 18 bulan bermula dengan ATM sebelum diserah kepada PDRM.

“Pemerintah ini akan dikenali sebagai komander Esscom dan akan bertanggungjawab terhadap operasi di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone),” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pegawai kanan PDRM kontinjen Sabah dan ketua polis daerah Esszone, di sini Selasa.

Pada April lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata pegawai memerintah bahagian operasi Esscom akan digilirkan antara PDRM dan ATM.

Katanya penggiliran itu bagi mengelak percanggahan kuasa selain melibatkan penggunaan aset setiap pasukan.

Sementara itu mengulas isu rasuah dalam Esscom, Khalid berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan atau aduan salah laku membabitkan anggotanya dalam institusi tersebut.

“Bagaimanapun jika didapati ada insiden rasuah, PDRM akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM,” katanya.

Khalid berkata PDRM turut mengambil langkah untuk mencegah kegiatan rasuah dalam kalangan anggotanya dengan memperkenalkan ujian integriti yang diwajibkan ke atas semua rekrut baharu.

“Kita akan cuba untuk tidak mengambil anggota yang ada kecenderungan terbabit rasuah,” katanya.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");