Berita Hari Ini

Pembangunan Terengganu Utamakan Kepentingan Penduduk Tempatan

menteri besar terengganu

HULU TERENGGANU, 8 Jun (Bernama) — Kerajaan Terengganu mahu memastikan setiap pembangunan yang dirancang di negeri itu, mestilah mengutamakan kepentingan dan kehendak penduduk tempatan.

Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata kerajaan mahu sebarang pembangunan yang hendak dilaksanakan, perlulah menepati kehendak dan memberi manfaat kepada penduduk setempat.

“Konsep yang kita akan buat mengikut ‘konsep makmal pemandu’ iaitu sebelum dibangunkan, hendaklah diadakan pameran untuk tunjuk kepada rakyat tentang perancangan yang hendak dibuat. Saya setuju untuk membangunkan Pekan Ajil dan kalau berkesempatan, ia hendaklah bermula pada tahun ini juga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri solat hajat dan majlis kesyukuran sempena pelantikannya sebagai menteri besar di Masjid Pekan Ajil di sini Sabtu malam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-tugas Khas Negeri yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Ghazali Taib dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu Datuk Mohd Rozali Saleh.

Ahmad Razif berkata kerajaan ingin melihat sekurang-kurangnya lebih 50 peratus pembangunan yang hendak dibangunkan itu dinikmati rakyat tempatan iaitu menggunakan konsep integrasi, iaitu kerajaan negeri bangunkan tanah milik orang kampung.

“Kita pelawa orang kampung yang mempunyai tanah yang akan kita kenal pasti kelak dan kita akan bantu mereka dari segi pembangunan…dengan konsep itu, kerajaan negeri tidak perlu ambil balik tanah orang kampung, tetapi kita bantu membangun dan memajukan tanah mereka,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata masjid baharu yang dibina di Terengganu tidak perlu terlalu besar, tetapi mesti menyediakan sistem pendingin hawa bagi keselesaan jemaah.

Menurutnya transformasi perlu dilakukan terhadap pembinaan masjid kerana menerusi pengalaman sebelum ini, masjid yang telah dibina kebanyakannya terlalu besar dan tidak ekonomik memandangkan semasa solat fardu hanya satu atau dua saf sahaja dipenuhi jemaah.

“Bagaimanapun jika hari-hari perayaan yang mempunyai ramai jemaah, masjid itu mestilah boleh dibuka atau diletakkan khemah supaya dapat menampung semua jemaah,” katanya.

Mengenai masjid Pekan Ajil yang dikatakan sudah tidak mampu menampung jemaah yang ramai, Ahmad Razif berkata walaupun kecil, tetapi masjid itu sangat sesuai bagi penduduk sekitarnya.

Bagaimanapun beliau bersetuju agar masjid itu diubah suai sedikit supaya dapat menampung lebih ramai jemaah.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");