Berita Hari Ini

Pengguna perlu bijak berbelanja

hassan malek 3

PUTRAJAYA – Sempena Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelang, pengguna dinasihatkan bijak berbelanja dan membeli barangan bermutu pada harga berpatutan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata, dengan cara itu mereka akan menjimatkan perbelanjaan, sekali gus dapat meraikan perayaan dengan selesa.

“Untuk itu kita akan mempertingkat pemantauan terhadap harga barangan seperti yang dilakukan sebelum ini supaya tidak menimbulkan sebarang masalah kepada pengguna,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-41, semalam.

Hasan berkata, pengguna juga tidak perlu bimbang kerana barangan keperluan untuk musim perayaan seperti tepung, gula dan minyak dijamin mencukupi seperti yang dijanjikan syarikat pengilang, pemborong dan pengeluar.

Khamis lalu, beliau turut mengumumkan harga maksimum bagi 18 jenis barangan harga terkawal mengikut Skim Kawalan Harga Musim Perayaan sempena Aidilfitri selama 17 hari bermula 20 Julai hingga 5 Ogos depan.

Antara barangan berkenaan adalah ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging lembu tempatan, daging lembu import (harga maksimum di Sarawak sahaja), daging kerbau import, telur ayam gred A, B, C, cili merah dan tomato.

Terdahulu Hasan menyampaikan hadiah kepada juara Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-41 antara sekolah berasrama penuh iaitu Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Perak yang menjuarai kedua-dua kategori iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Mereka menerima hadiah wang tunai RM7,500, piala pusingan dan piala iringan bagi setiap kategori, dengan menewaskan Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang, Selangor untuk kategori Bahasa Melayu dan Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan bagi kategori Bahasa Inggeris.- Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");