Perak Hari Ini

Perak Yakin Yayasan NAAM Dapat Bantu Golongan Belia

Yayasan NAAM (New Affirmative Action Movement) mensasarkan menyediakan 10,000 peluang pekerjaan dan meningkatkan produktiviti kira-kira 100,000 belia di Perak dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurut Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abd Kadir, ia merupakan salah satu langkah bagi memperkasakan kemampuan golongan belia terutamanya golongan kaum India kelak yang dinaungi oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak.

“Kerajaan negeri telah mendapat taklimat berkenaan usaha-usaha yang akan dijalankan oleh NAAM dan sentiasa mengalu-alukan cadangan itu dan bersedia untuk membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas sejurus menerima kunjungan dan mendengar taklimat berkenaan yayasan berkenaan daripada Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan di Ipoh, hari ini.

Jelasnya lagi, kerajaan negeri bakal memberikan sokongan sepenuhnya bagi membantu masyarakat India di Perak.

Ini katanya, sekaligus dapat membantu mengatasi masalah yang membelenggu masyarakat India melibatkan banyak sektor terutama sekali peluang pekerjaan yang perlu diwujudkan dengan lebih banyak lagi.

“Perak sentiasa menjadi baris hadapan dan mendahului dalam usaha membantu serta membaiki kedudukan masyarakat India,” katanya.

Tambahnya lagi, Yayasan NAAM telah menampilkan idea yang kreatif dan telah mendapat persetujuan serta peruntukan khas bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan muda.

Katanya lagi, hasrat untuk menggerakkan program berkenaan ke seluruh negeri dan mengenal pasti bidang pertanian sebagai sumber utama yang boleh dikembangkan merupakan langkah yang baik.

“Dengan cara tersebut, golongan belia dapat keluar daripada lingkungan kemiskinan dan peluang pekerjaan dapat diwujudkan,” katanya.

Beliau turut menyangkal mengenai persepsi bahawa kerajaan negeri hanya memberikan bantuan berfokuskan kepada satu kaum tertentu sahaja.

Tegasnya, ini kerana semua kaum perlu dibantu berdasarkan kepada permasalahan dan keperluan yang dihadapi mereka.

“Pelbagai usaha telah diambil secara berterusan bagi membantu semua kaum dengan mengaplikasikan pendekatan dan modul yang berbeza mengikut keperluan,” katanya.

Sementara itu, Saravan pula berkata, Yayasan NAAM bakal mensasarkan peluang pekerjaan kepada 10,000 orang golongan belia Perak dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Program bakal dijalankan secara berperingkat termasuklah penggunaan tanah terbiar untuk diusahakan yang bakal bermula di Parlimen Tapah,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");