Jenayah

Perompak larikan kereta

kereta dilarikan

KEMAMAN – Seorang pesara guru kerugian kira-kira RM100,000 apabila perompak yang memecah masuk rumahnya turut melarikan kereta Honda City miliknya yang diletakkan di hadapan rumah dalam kejadian di Kampung Mak Lagam, malam kelmarin.

Ketika kejadian, mangsa, Malek Deraman, 66, tiada di rumah dan hanya mengetahui kejadian itu apabila seorang buruh warga Bangladesh berusia 30 tahun yang melakukan kerja-kerja binaan di hadapan rumah menghubunginya kira-kira jam 10.30 malam.

Malek yang juga bapa kepada tiga anak berkata, semasa dihubungi, dia berada di rumah anak keduanya di Kuala Terengganu kerana baru pulang dari menemani anak sulungnya, Azlina, 34, berkursus selama seminggu di Pejabat Kastam Rantau Panjang, Kelantan.

“Buruh itu beritahu dia nampak seorang lelaki pandu kereta saya dan bawa keluar dari pintu pagar rumah setelah pecahkan mangga pintu pagar.

“Lepas tahu perkara itu, saya dengan dua anak, menantu dan cucu bergegas pulang ke Mak Lagam. Sebaik sampai di rumah kira-kira jam 2 pagi memang kereta sudah lesap dan lepas masuk ke dalam rumah saya dapati rumah berselerak,” katanya.

Pada masa sama, jiran bersebelahan rumah mangsa yang diberitahu mengenai kejadian itu oleh buruh terbabit bertindak menghubungi polis.

Dua televisyen turut hilang

Malek berkata, selepas diperiksa, didapati dua televisyen jenis LCD yang salah satunya adalah sumbangan banjir dan masing-masing diletakkan dalam bilik tidur serta dapur lesap.

“Pencuri masuk ke dalam rumah saya melalui tingkap bilik tidur belakang kerana jeriji besi di bilik tidur itu dipotong dan dibengkokkan.

“Lepas rembat TV, pencuri keluar menerusi pintu dapur kerana pintu dapur ternganga ketika kami pulang,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Kata Malek, ketika meninggalkan rumah minggu lalu dia tertinggal kunci pendua keretanya di dalam laci di dalam bilik tidurnya.

“Biasanya saya tak pernah tinggalkan kunci kereta di rumah ketika keluar, tapi semasa tinggalkan rumah minggu lalu, saya sangka saya dah ambil kunci tapi rupa-rupanya saya tertinggal,” katanya.

Mangsa yang juga bapa tunggal kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu kira-kira jam 10 pagi, semalam.

Sementara itu, buruh terbabit, Mohamad Munirun Zaman Akon berkata, dia terkejut selepas melihat lampu di dalam rumah mangsa terpasang kerana dia mengetahui mangsa tiada di rumah.

“Waktu itu saya keluar dari bilik sebab hubungi keluarga di Bangladesh. Lepas tengok lampu terpasang saya dekati rumah pakcik Malek dan saya nampak seorang lelaki berseluar pendek dan memakai singlet buka pintu pagar rumah dan bawa keluar kereta,” katanya.

Sebar gambar kereta dalam WhatsApp

Tindakan jiran tetangga menyebarkan maklumat mengenai kes pecah rumah dan gambar kereta yang dicuri dalam aplikasi WhatsApp Messenger membantu mangsa mengesan kenderaannya itu.

Malek berkata, kira-kira 11 pagi, dia mendapat maklumat keretanya berada di atas Jambatan Bukit Kuang dan dalam perjalanan menghala ke Kuala Terengganu dengan huruf B dan 8 pada nombor pendaftaran kereta dicabut.

“Selepas itu, kereta tersebut dikejar polis kerana melanggar lampu isyarat dekat stesen Tenaga Nasional Bhd (TNB) sebelum (kereta) hilang di bandar Ketengah Jaya. Beberapa jam kemudian, saya dapat maklumat daripada Rakan Cops kereta itu dilihat di Rusila Marang,”
katanya sambil memberitahu keretanya dibeli pada 2011.

Kata Malek, dia juga dimaklumkan terdapat sebuah Proton Iswara berwarna merah yang bernombor pendaftaran bermula dengan huruf D mengekori keretanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan memberitahu pihaknya sedang mengesan suspek.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");