Perak Hari Ini

Peruntukan Khas Diperlukan Untuk Bangunkan Tempat Pelancongan Di Pulau Pangkor

Kerajaan Perak memerlukan peruntukan khas bagi mewujudkan lebih banyak tempat pelancongan yang boleh dilawati di Pulau Pangkor

Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, dengan peruntukan tersebut, ia dapat menjadikan Pulau Pangkor sebagai pusat tumpuan pelancong di Perak.

“Kita memerlukan bantuan daripada kerajaan Persekutuan untuk membangunkan tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi para pelancong di Pulau Pangkor.

“Oleh sebab itu, saya berharap kerajaan Persekutuan dapat menyediakan peruntukan khas untuk tujuan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas sesi walkabout di Pulau Pangkor.

Zambry yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, berkata lagi, pembangunan tersebut juga mampu menarik minat lebih ramai pengunjung untuk memilih Pulau Pangkor sebagai salah satu destinasi percutian.

“Buat masa ini, pelancong hanya datang dan menginap di sini sekitar satu atau dua hari kerana tidak ada banyak tempat untuk dilawati.

“Oleh sebab itu, kita memerlukan bantuan kewangan untuk membina lebih banyak tempat yang boleh dilawati agar pelancong meluangkan lebih banyak masa di sini,” tambahnya lagi.

Beliau berkata lagi, pelaburan tersebut bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada kerajaan negeri malah juga kepada kerajaan Persekutuan.

“Ini merupakan situasi menang-menang di mana semua pihak mendapat kebaikan daripada pembangunan yang akan dilaksanakan,” ujarnya.

Penduduk tempatan juga katanya, akan mendapat faedah daripada pembangunan tersebut.

“Melalui pembangunan di Pulau Pangkor ini, kerajaan negeri bukan sahaja dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan malah kepada penduduk dari seluruh Perak,” katanya lagi.

Zambry berkata, majoriti pelancong yang datang ke Pulau Pangkor adalah pelancong tempatan.

“Peratusan bagi pelancong tempatan yang memilih Pulau Pangkor sebagai destinasi pelancongan adalah sebanyak 80 peratus dan selebihnya iaitu 20 peratus adalah pelancong luar negara,” ujar beliau lagi.

Terdahulu, Zambry telah meluangkan masa untuk bertemu dengan penduduk tempatan di sekitar kawasan Pulau Pangkor.

Beliau juga berkesempatan meninjau tapak projek pembinaan bangunan antaranya pusat tahfiz, rumah flat dan juga masjid di Pulau Pangkor.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");