Jenayah

Rayu Kastam lepas kanak-kanak

rayu pd kastam

KLANG – Biro Antarabangsa Exco Pemuda Umno merayu kepada Kastam Diraja Selangor agar memberikan pelepasan dan kelonggaran kepada seorang kanak-kanak bernama Kumaira, 6, yang sedang  ditahan di lokap Kastam di Pelabuhan Utara.

Adik Kumaira yang merupakan warga Indonesia ditahan bersama ibunya dikenali sebagai Agustina di perairan pantai Selangor, Banting pada 18 Jun lalu selepas bot yang dinaiki mereka karam bersama kira-kira 97 mangsa lain.

Pengerusinya, Datuk Mohamed Hazali Abu Hassan berkata, pihaknya juga memohon agar pelepasan turut diberikan kepada ibu kanak-kanak itu yang hamil lebih lapan bulan.

“Kanak-kanak itu perlu diberi pelepasan memandangkan keadaan lokap yang tidak bersesuaian dengan usianya yang masih kecil.

“Kami dimaklumkan pada waktu siang, Kumaira dan ibunya ditempatkan di lokap Kastam di Pelabuhan Utara dan apabila malam, mereka dipindahkan ke lokap polis IPD Shah Alam,” katanya selepas bertemu wakil Kastam Selangor, Shahidul Azidi Abu Zaid dan Agustina di pejabat Kastam Pelabuhan Utara, di sini semalam.

Beliau berkata, penahanan Kumaira di kedua-dua lokap itu juga boleh memberi kesan psikologi jangka masa panjang kerana dirinya yang masih kecil.

“Kami bertanggungjawab untuk membantu kedua-duanya atas dasar perikemanusiaan dan permintaan Kedutaan Indonesia sendiri,” katanya.

Menurutnya, perbincangan bersama Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno pada 26 Jun lalu mencadangkan agar dua beranak itu ditempatkan di ‘shelter’ Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur buat sementara waktu sehingga siasatan selesai.

“Rayuan ini dibuat atas dasar perikemanusiaan dan simpati ke atas nasib mereka yang di reman hingga Selasa ini. Fokus kita adalah memberi pelepasan segera kepada mereka bukannya untuk membelakangkan undang-undang negara,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Hazali berkata, hasil perjumpaan dengan wakil Kastam yang juga pegawai penyiasat, mereka memaklumkan akan mengikut prosedur dan membawa kes itu kepada Pengarah Perundangan bagi tindakan lanjut.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");