Berita Hari Ini

Rezeki musim kemarau

pesta ikan

HULU TERENGGANU – Ngambat ikan atau menghambat ikan mungkin agak asing bagi segelintir individu, namun bagi komuniti di Hulu Terengganu, ia bagaikan satu pesta tatkala tibanya musim kemarau.

Malah, ngambat ikan bukan sahaja memberikan kepuasan tersendiri kepada individu terlibat apabila melihat pukat dipenuhi pelbagai spesies ikan, tetapi juga keseronokan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Tidak cukup dengan itu, lazimnya selesai mengambat, peserta akan menjamu selera beramai-ramai hasil ikan yang diperoleh kerana kebiasaannya aktiviti itu dilakukan sekadar kepuasan, bukan untuk dijual hasilnya.

Aktiviti berkumpulan

Berkongsi cerita, Sudin Yasin, 46, dari Kampung Paya Besar berkata, aktiviti itu dilakukan berkumpulan sekurang-kurangnya 20 orang yang dikenali sebagai ngerau (mengerau) dan lokasinya ialah kawasan lubuk ikan di sungai.

Dia yang mesra disapa Pak Din berkata, ngambat ikan biasanya dilakukan pada musim kemarau atau ketika paras sungai cetek.

“Sebelum turun ke sungai, kita kena kenal pasti tempat yang banyak ikan, dah puas hati barulah kita masuk dan kumpulan tadi kita pecahkan kepada dua iaitu sebagai tukang hambat dan tukang kepung.

“Peralatan digunakan tukang hambat ialah buluh yang dibelah dua dengan panjang antara dua hingga tiga meter,” katanya.

Sudin berkata, tukang hambat terlebih dahulu akan berada di sebelah hulu dengan jarak tertentu dan akan berjalan beramai-ramai mengikut arus sungai menuju ke kawasan kepungan sambil membuat bising dengan memukul permukaan air.

“Jarak antara tempat permulaan berjalan tukang hambat dengan tukang kepung terpulang kepada individu. Namun, jika jaraknya jauh kemungkinan hasil diperoleh lebih banyak, tetapi biasanya antara setengah hingga satu kilometer sahaja,” katanya.

Buat kepungan

Menurutnya, peranan tukang kepung pula ialah membuat kepungan menggunakan pukat yang siap sedia dipasang bersama buluh cacar sepanjang kira-kira 0.5 meter dan fungsi pukat berkenaan ialah bertindak sebagai ‘bunohan’ serta penutup.

“Jika tukang hambat buat bising dengan menepuk permukaan air, tukang kepung perlu diam. Biasanya mereka akan naik ke darat terlebih dahulu dan meluru masuk ke dalam sungai apabila melihat sekumpulan ikan sudah memasuki kawasan kepungan.

“Tindakan ini perlu dilakukan dengan pantas agar ikan yang sudah memasuki kawasan kepungan pukat tidak terlepas. Ketika ini juga, satu jala lain akan terus ditebarkan ke arah kumpulan ikan tersebut.

“Selain itu, kaedah memungut ikan yang tersangkut pada jala dipasang turut dilakukan. Fungsi buluh cacar bertindak sebagai daya tarikan kepada ikan kerana ia kelihatan bergerak-gerak ketika di dalam air,” katanya.

Pernah tangkap 1,600 ikan

Bagi Zakaria Deraman, 49, dari Kampung Tapah, ngambat ikan sudah sinonim dengan masyarakat Hulu Terengganu hingga ia bagaikan satu tradisi, malah dia sendiri tidak terkecuali dan Sungai Berang menjadi salah satu lokasi pilihannya.

Katanya, walaupun jumlah tangkapan tidak menentu kerana bergantung kepada nasib dan rezeki, namun yang pasti hasilnya tetap ada.

“Pernah saya bersama-sama Pak Din serta yang lain berjaya memperoleh kira-kira 1,600 ekor ikan pelbagai spesies termasuk kelah ketika melakukan aktiviti ngambat ikan bulan lepas. Jumlah itu paling banyak diperoleh setakat ini.

“Walaupun nampak mudah, proses ngambat ikan perlu mempunyai sekurang-kurangnya seorang ketua yang arif kerana jika dibiarkan orang tiada pengalaman, sudah tentu mereka tidak dapat ikan,” katanya.

Kata Zakaria, aktiviti musim kemarau itu secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk kampung.

“Jika musim tengkujuh kami turun ke sungai memasang pukat, ketika kemarau pula kami ngambat ikan beramai-ramai,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");