Jenayah

Roboh akibat muatan kayu balak

roboh

TAMPIN – Keadaan di sebuah stesen minyak, dekat sini gempar apabila sebuah treler yang sarat membawa lebihan muatan kayu balak terlanggar salah satu pam minyak menyebabkannya roboh, dalam kejadian kira-kira jam 8.05 malam.

Menurut saksi, Sheir Zuman Abdul Rahman Fairus Khan, 54, ketika kejadian, dia sedang minum di sebuah kedai yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi berkenaan.

Sheir Zuman berkata, pemandu treler berusia 38 tahun itu segera memarkirkan kenderaannya selepas terdengar bunyi dentuman kuat susulan pam minyak diesel terbabit runtuh.

“Treler yang berisi kayu balak sepanjang lebih 12 meter itu baharu sahaja selesai mengisi diesel dan ingin meneruskan perjalanan. Namun saya sudah berasa tidak sedap hati apabila melihat sebahagian kayu balak itu terjulur keluar.

“Sangkaan saya tepat apabila lebihan kayu balak itu terkena pam minyak diesel dan menyebabkannya runtuh serta mengeluarkan dentuman kuat seperti mercun,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Bimbang dengan kejadian itu, Sheir Zuman berkata, dia bergegas ke stesen minyak terbabit bagaimanapun berasa lega kerana tiada orang awam berada berhampiran kawasan kejadian itu.

“Cuma runtuhan ini agak teruk dan insiden seumpama ini baru pertama kali berlaku di stesen minyak Petronas Pekan Gemencheh ini.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati, pemandu treler yang dalam perjalanan dari Rompin ke Pulau Sebang, Alor Gajah, baru sahaja mengisi minyak di Petronas Pekan Gemencheh.

“Bagaimanapun, ketika treler itu bergerak keluar,  kayu balak yang berlebihan dan terjulur keluar itu mengenai pam minyak diesel sehingga menyebabkan pam itu runtuh.

“Kes ini disiasat di bawah Peraturan 10, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mengenakan saman kerana membawa muatan berlebihan serta merbahaya,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");