Jenayah

Sambut Hari Bapa tanpa 2 anak lelaki

anak dan ayah

BAROH PIAL – “Saya akan buat apa sahaja demi anak-anak, namun saya reda kerana ALLAH SWT lebih menyayangi mereka,” kata seorang bapa di Kampung Bukit Sukai, semalam.

Abdullah Hadi berkata, dia kehilangan dua anak lelaki, Ahmad Irsyed, 8, yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 49, Jalan Kuala Krai Gua Musang, berhampiran Bukit Tujuh pada 2005 lalu, dan Ezzat Nor Azam, 21, meninggal dunia kerana sakit kronik ketika menuntut di UiTM Arau, Perlis, tahun lalu.

Manakala, katanya, seorang lagi anaknya, Ahmad Firdaus, 8, menjadi orang kurang upaya (OKU) selepas terlibat kemalangan sama.

Kemalangan ragut tiga nyawa

Abdullah bukan sahaja kehilangan Ahmad Irsyed, malah adiknya, Ibrahim Yusof, 27, turut terbunuh dalam kemalangan sama pada 2005 lalu.

Berita itu katanya, turut mengejutkan ibunya, Che Yam Che Seman yang berada di Rantau Panjang dan disahkan meninggal dunia pada hari sama.

Abdullah berkata, kemalangan itu menyebabkan Ahmad Firdaus mengalami kecederaan parah di kepala.

“Kami hampir berputus asa apabila doktor mengesahkan mungkin dia tidak dapat diselamatkan, namun saya bersyukur kerana umurnya masih panjang.

“Biarpun tidak sempurna, namun saya bersyukur kerana masih berpeluang menjadi bapa yang baik kepada Firdaus,” katanya sempena Hari Bapa, semalam.

Berubah seperti baru lahir

Namun, selepas kemalangan itu Abdullah berkata, perilaku Ahmad Firdaus berubah seperti hari pertama dilahirkan.

Menurutnya, anaknya mula menunjukkan tindak balas seperti seorang bayi yang tidak mampu makan makanan pejal dan sering menangis.

Lama-kelamaan katanya, Firdaus mula belajar meniarap, merangkak, bertatih dan seterusnya berjalan.

“Dia sudah berusia 17 tahun, namun mentalitinya tidak ubah seperti kanak-kanak berusia enam tahun.

“Saya akan bosan jika tidak melihat telatahnya setiap hari dan Firdaus seakan penyeri dalam hidup kami,” katanya.

Walaupun kurang sempurna, Abdullah tetap menitik beratkan pembelajaran dan kini masih belajar di sekolah pendidikan khas.

Dugaan terbesar

Tahun lalu, Abdullah sekali lagi diuji apabila anak sulungnya, Ezzat Nor Azam koma akibat demam panas ketika menuntut di UiTM Arau, Perlis.

Setelah hampir setahun berulang alik ke Hospital Tuanku Fauziah Perlis, anak lelakinya dibenarkan mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

“Saya dan isteri (Latipah Yusof, 49,) terpaksa menangguhkan dahulu niat untuk menunaikan haji kerana terpaksa membelanjakan ribuan ringgit untuk mendapatkan mesin pernafasan dan rawatan lain.

“Alhamdulillah, saya amat berterima kasih kepada penduduk, rakan arwah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Sinar Harian kerana hasil usaha mereka, saya dapat mengumpulkan wang untuk rawatannya,” katanya.

Beberapa hari sebelum arwah meninggal dunia, Abdullah sempat membina perigi dan membaiki sebahagian madrasah yang terletak bersebelahan rumahnya menggunakan sebahagian sumbangan itu.

“Saya tak sangka, sejurus perigi itu siap, arwah menghembuskan nafas terakhir 13 Mei lalu. Kini, semua wang yang disumbangkan untuk Ezzat, digunakan untuk keperluan madrasah ini,” katanya.

Anak sakit kronik

Bukan itu sahaja, Abdullah berkata, seorang lagi anaknya, Abdul Aziz Hilmi, 10, disahkan sakit buah pinggang sejak berusia enam tahun.

Menurutnya, penyakit itu menyebabkan anaknya tidak dapat mengikuti aktiviti lasak seperti rakan lain, tetapi dia bersyukur kini tahap kesihatan Abdul Aziz semakin baik namun masih memerlukan rawatan lanjut.

Bagi menambah pendapatan, Abdullah pernah bertugas sebagai pembantu kedai di Koperasi UiTM Jengka, Pahang; pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Kumpulan Media Bazar.

Abdullah berkata, rutin hariannya mengambil dan menghantar lima anaknya ke sekolah dekat Tanah Merah.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");