Membawang Hari Ini

Sambut Ramadan di perantauan

fizo dan rakan

Ramadan kali ini ternyata cukup berbeza bagi tiga rakan karib, Fizo Omar, 29; Kamal Adli; 28, dan Hairul Azreen, 26, apabila pertama kali menyambutnya di perantauan.

Ketika ini mereka berada di Barcelona, Sepanyol bagi menjayakan program percutian ke kota bersejarah itu anjuran butik Rafflesia The Pearl Centre dan syarikat penerbangan Air France.

Biarpun mereka dijangka menempuh puasa bagi dua hari pertama di Sepanyol, ia tetap satu pengalaman menarik kerana persekitaran dan budaya di negara ini yang berbeza berbanding Malaysia.

“Waktu siang di sini lebih panjang kalau dibandingkan dengan Malaysia kerana sekarang musim panas, jadi itu satu cabaran yang baru bagi kami yang akan berpuasa,” kata Kamal.

Hairul pula berkata, inilah kali pertama dia menyambut puasa secara berjauhan daripada keluarga di Seri Serdang, Selangor.

“Biasanya pada bulan puasa saya tidak mengambil tawaran berlakon kerana mahu luangkan masa untuk bersahur dan berbuka dengan keluarga di rumah selain bertarawih.

“Saya juga suka membeli juadah di bazar Ramadan. Namun permulaan Ramadan kali ini, saya nampaknya terpaksa memilih juadah Timur Tengah di Barcelona ini,” katanya.

Bagi Fizo pula yang ditemani isterinya, Mawar Abdul Karim, 25, inilah julung kali mereka berpuasa bersama di luar negara sejak berkahwin November lalu.

“Biasanya bulan puasa saya lebih fokus kepada perniagaan serunding dan rangkaian Hot Burger saya. Saya juga lebih kerap bersahur dan berbuka dengan ibu saya. Namun dengan adanya Mawar di sisi saya di Barcelona, kerinduan terhadap Malaysia tidak begitu terasa,” katanya.

Apa yang menyeronokkan Fizo, Kamal dan Hairul, buat pertama kalinya mereka dapat menjejakkan kaki ke Stadium Nou Camp milik kelab terkenal di dunia, Barcelona

“Walaupun Piala Dunia 2014 berlangsung di Brazil, aura kejohanan bola sepak yang paling unggul itu turut dirasai sebaik saja kami melangkahkan kaki ke dalam stadium bersejarah itu. Memang saya penyokong tegar pasukan Barcelona,” kata Fizo yang turut membeli jersi Barcelona dengan nombor 11 yang dipakai penyerang terkenal kelab itu, Neymar.

-metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");