Membawang Hari Ini

Sarah pengikat kasih

ashraf muslim

Tiada manusia dalam dunia ini tidak pernah ditimpa dugaan atau ujian. Tidak kira golongan sele­briti atau orang biasa, jika bijak mengurus masalah, setiap dugaan pasti ada hikmahnya.

Begitu juga kehidupan dilalui tiga insan ini, pelakon Ashraf Muslim dan dua isterinya, Nur Dayana Lokman dan Wan Sakinah Ahmad Saburi.

Saat merakam detik bersama mereka, SELEBRITI dapat lihat betapa bahagianya keluarga ini, seolah-olah tidak ada apapun yang pernah berlaku. Kehadiran Sarah Ashraf, tiga bulan, menjadi pengikat paling kukuh kasih sayang antara mereka bertiga.

Ashraf akui Sarah cahaya mata mereka bersama kerana Sakinah dan Dayana ibu yang sama-sama menjaga dan me­ngasuh Sarah.

“Banyak perubahan berlaku disebabkan Sarah. Saya sering beritahu mereka, ini anak kita. Saya seronok sebab banyak perkara dilalui sebelum ini, Allah tunjukkan hikmah­nya.

“Hubungan kedua-dua isteri saya juga semakin erat ibarat kawan baik. Sampaikan saya kadangkala terpaksa menggosok baju sendiri,” katanya berseloroh.

Ketika sesi fotografi berlangsung, keakraban Dayana dan Sakinah dapat dilihat. Masing-masing membantu memilih jubah dan tudung untuk dipakai.

Mereka juga tolong menolong membetulkan tudung masing-masing sehingga hampir ‘terlupa’ si suami juga perlukan bantuan menggosok baju untuk sesi fotografi.

Kata Ashraf, sebagai suami dan ketua keluarga, dia perlu adil dan membahagi masa dengan betul. Paling penting, sikap toleransi. Ashraf lebih tekankan silaturahim antara dua isterinya.

“Bila dapat rapat­kan mereka, saya lebih mudah me­ngurus keluarga. Saya juga sering bawa mereka ke majlis ilmu untuk bekalan bersama.

“Orang selalu tanya bagaimana saya bersama isteri? Pertama sekali, solat berjemaah dan berdoa untuk kesejahteraan semua. Saya bagi mereka tahu, dalam doa saya, ia untuk kesejahteraan kita,” katanya.

Ia juga menjadi penenang tatkala mereka perlu duduk berbincang mengenai perkara serius. Ashraf melihat perkara itu sebagai kaedah stabil untuk menerapkan toleransi dan sabar dalam perhubungan.

Apatah lagi dengan kehadiran Ramadan, Ashraf melihat ia sebagai bulan paling sesuai penuh berkat untuk merapat­kan lagi hubungan mereka. Antaranya, mengajak isterinya menunaikan solat tarawih bersama di masjid berhampiran.

Mengenai penerimaan keluarga Dayana yang sebelum ini dikatakan tidak me­nyukai tindakan Ashraf berkahwin dua, Ashraf akui sukar menjelaskan perkara itu.

Katanya, secara asasnya mereka masih dalam proses menerima sepenuhnya selain mengakui perkara seperti ini me­ngambil masa.

“Paling penting ialah saya dan keluarga saya, sebab ini keluarga yang akan saya pimpin sampai akhir hayat. Saya kena buktikan kepada semua pihak yang saya boleh bahagiakan keluarga sendiri.

“Harap masyarakat turut mendoakan yang terbaik buat kami sekeluarga,” katanya.

Dulu pasrah, kini reda

Benar kata pepatah, ‘Tak kenal, maka tak cinta’. Pada awal perkahwinan berlaku, Dayana dan Sakinah masing-masing mengelak bercakap mengenai poligami.

Namun, kehadiran Sarah nyata merapatkan jurang yang ada antara mereka hinggakan selesa tidur sekatil menjaga Sarah tatkala suami terpaksa bekerja di luar da­erah.

“Walaupun masing-masing tidak tinggal sebumbung, kami sering berhubung dan berkumpul di rumah. Kalau saya datang berehat di rumah Sakinah, hanya saya, Sakinah dan Sarah tidur di bilik dan Ashraf kena tidur di ruang tamu.

“Malah, kami mula keluar membeli-belah bersama sebab kami berkongsi cita rasa hampir sama. Bila kami keluar beli-belah, Ashraf jaga anak di rumah,” seloroh Dayana.

Sebelum segala bahagia ini muncul, Dayana akui pada awalnya dia tidak rapat dengan madunya tapi sikit demi sikit dari perasaan pasrah dengan apa yang berlaku, Dayana kini reda dengan ketentuan Allah.

Dayana akui ketika berkunjung ke tanah suci Makkah menunaikan umrah bersama suami awal tahun ini, dia berdoa di depan Kaabah mohon diberi petunjuk dan kebahagiaan dalam menyatukan hatinya dengan Sakinah.

“Alhamdulillah, selepas pulang dari umrah dan dikurniakan Sarah, doa saya dimakbulkan. Sikit demi sikit Allah tunjukkan jalan bahawa pilihan dilalui ada hikmah yang sangat besar.

“Ada sebab Allah belum kurniakan anak kepada saya lagi pada masa ini, apatah lagi apabila difikirkan situasi kerja saya yang tidak menentu dan lasak,” kata Dayana yang bertugas sebagai doktor di hospital tempatan.

Sakinah turut akui Sarah pelengkap kebahagiaan yang dicari dalam keluarga besar mereka. Walaupun masyarakat masih mengeluarkan kata-kata negatif terhadap mereka, Sakinah percaya tanggungjawabnya kini membahagiakan keluarganya terlebih dulu.

“Semua orang boleh rasakan, disebabkan Sarah, kami semua rapat. Ashraf juga pandai main peranan mengurus rumah tangga. Sebenarnya, kebahagiaan kami kerana Ash­raf tahu mengurus isterinya.

“Masyarakat boleh cakap macam-macam dan saya tidak boleh buat apa-apa. Yang penting menjaga hati sendiri. Saya bukan artis tapi sekarang kena belajar banyak perkara seperti perlu berhati-hati memuat naik foto ke laman sosial, nanti ada yang fikir bukan-bukan,” katanya jujur.

Tanpa berselindung, Sakinah akui sebagai isteri kedua, dia perlu faham kehendak dan siapa perlu dilebihkan, terutama apabila bercakap isu tertentu. Contohnya, isu balik kampung pada hari raya kerana masing-masing berasal dari negeri berbeza.

“Masih terlalu awal untuk bercakap mengenai balik kampung siapa lebih dulu pada hari raya nanti. Apa sekalipun, terpulang kepada keputusan bersama dan pasti saya kena lebih–kan isteri pertama,” katanya sambil terse­nyum.

-METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");