Jenayah

‘Saya tak berniat aibkan anak’

Imbas kembali… Rosnaini dan suaminya, Dr Daeng Malis Ab Kahar memberikan kata-kata semangat kepada Nur Damia Irsalina sebelum memulakan sesi persekolahan di SK Kuala Telemong, Hulu Terengganu, Januari lalu:-

KUALA NERUS – “Sebelum ini, banyak kata-kata segelintir pihak yang menggoreskan hati saya, di mana ada yang mengatakan saya seolah-olah cuba mengaibkan anak sendiri apabila kisahnya mendapat perhatian ramai,” demikian kata Rosnaini Muhamad, 36, ibu kepada kanak-kanak istimewa, Nur Damia Irsalina Daeng Malis.

Kisah hidup kanak-kanak berusia tujuh tahun yang dilahirkan tanpa kaki dan tangan yang kini bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kuala Telemong, Hulu Terengganu itu menarik perhatian ramai apabila dia memulakan persekolahan selepas nekad untuk menuntut ilmu seperti mana rakan sebaya yang lain.

Menurut Rosnaini lagi, meskipun hatinya agak tergores dengan komen-komen tidak bertanggungjawab pihak tertentu di laman sosial apabila kisah anak ketiga daripada empat beradik itu mendapat reaksi ramai, namun dia mengakui bersyukur kerana ramai yang tampil membantu khususnya bagi mencari cara serta kaedah untuk memudahkan lagi anaknya belajar seperti kanak-kanak normal.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur apabila ramai yang tampil, cuba membantu anak saya dan sejujurnya, saya tiada niat untuk mengaibkan anak sendiri, sebaliknya dengan perhatian ramai ini secara tidak langsung ada pihak yang tampil dengan pelbagai cadangan untuk membantu Damia.

“Ia terbukti menerusi kerusi roda serta meja khusus yang dibuat bagi membantu memudahkan lagi Damia untuk belajar kerana sebagai ibu, saya mengharapkan yang terbaik untuk anak saya agar dia mampu belajar seperi mana kanak-kanak normal yang lain,” katanya ketika ditemui di Hotel Tabung Haji dan Pusat Konvensyen di sini, semalam.

Nur Damia dan keluarganya dijemput khusus untuk menyertai Majlis Program Transformasi Kepimpinan Pengurusan Sekolah Negeri Terengganu, yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");