Berita Hari Ini

Segera Bertindak Elak Kanak-Kanak, Remaja Jadi Mangsa Kes Jenayah

mangsa kes jenayah

PETALING JAYA: Kerajaan perlu segera bertindak bagi mengelak lebih ramai generasi muda negara, terutama kanak-kanak dan remaja menjadi mangsa kejadian jenayah terutama kes bunuh, rogol dan penderaan.

Beberapa pihak ketika dihubungi mStar Online mahu supaya diadakan persidangan meja bulat yang menggabungkan semua pihak sama ada agensi kerajaan, polis, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan anggota masyarakat untuk mencari penyelesaian kukuh bagi mengurangkan kejadian ini.

Selain itu, undang-undang sedia ada wajar dikaji semula, sama ada peruntukan yang digariskan mencukupi untuk menjaga keselamatan generasi muda negara, termasuk daripada segi hukuman terhadap ibu bapa yang cuai dalam menunaikan tanggungjawab mereka.

Terkini pada minggu lalu, kejadian remaja dirogol sekumpulan 38 lelaki di Kelantan seharusnya membuka mata pelbagai pihak untuk tampil menggerakkan usaha bagi mengelak lebih ramai lagi menjadi mangsa.

Selain itu, kes membabitkan kanak-kanak dengan terbaharu Siti Soffea Emelda Abdullah dibunuh dengan kepalanya dipenggal, kes penderaan hingga menyebabkan kematian dan kejadian ponteng sekolah juga seharusnya mendapat perhatian ramai.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, tanpa tindakan drastik tentunya kejadian jenayah membabitkan kanak-kanak dan remaja akan terus berleluasa.

“Adalah menyedihkan kerana ada ibu bapa yang cuai dan alpa walaupun kedua-dua faktor itu tidak boleh dikompromi kerana selagi anak mereka belum baligh dan berkahwin, keselamatan anak-anak adalah dibawah tanggungjawab mereka.

“Mereka tidak boleh lepas tangan atau leka, sebaliknya perlu lebih ketat mengawasi pergerakan anak-anak mereka kerana akan ada unsur luar yang mudah menguasai pemikiran pihak tidak bertanggungjawab ini hingga berlakunya perlakuan kejam,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Isnin.

Mohamad Ali berkata, walaupun ada undang-undang yang menetapkan hukuman kepada ibu bapa yang cuai, ia masih perlu diteliti sama ada daripada segi agama, adat resam dan pendidikan adalah mencukupi untuk menjaga generasi muda negara.

“Ilmu keibubapaan adalah syarat penting bukannya nikah kahwin sahaja dan hal ini juga wajar diberi perhatian dalam kursus perkahwinan yang diadakan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng, berkata walaupun isu berkenaan bukan membabitkan bidang kuasa pihaknnya, namun sikap ambil tahu penting untuk memastikan kanak-kanak dan remaja tidak terus menjadi mangsa jenayah kejam seumpama itu.

“Era digital dengan teknologi terkini yang memudahkan maklumat diperoleh mungkin juga menyumbang kepada situasi ini dan ia boleh menjadi semakin serius jika tidak dibendung.

“Selain itu, masalah domestik di peringkat keluarga boleh menyebabkan kanak-kanak dan remaja berhadapan masalah disiplin, sekali gus menyebabkan mereka terjebak dengan pelbagai kejadian tidak diingini,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Beliau berkata, langkah segera ini perlu kerana ia membabitkan masa depan generasi muda yang berperanan mencorakkan hala tuju negara ini.

-MSTAR

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");