Jenayah

Suami isteri didakwa dera anak

suami isteri didakwa

AMPANG – Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di mahkamah majistret di sini semalam atas tuduhan menganiayai kanak-kanak berusia 6 tahun, hujung bulan lepas.

Pemandu teksi Zuhairy Kassim, 42, dan isterinya Nor Zuliana Tahir, 32, seorang suri rumah sebagai orang yang mempunyai penjagaan ke atas Muhammad Akhil Mustaqim Rasidy didakwa menganiaya kanak-kanak itu, yang merupakan anak kandung Nor Zuliana.

Zuhairy, bapa tiri mangsa dan Nor Zuliana, didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah di Pangsapuri Permai Ria, Tasik Permai, di sini antara 23 Mei dan 26 Mei lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Goh Ai Rene membantah jaminan terhadap kedua-dua tertuduh atas alasan kesalahan itu merupakan kesalahan yang tidak boleh diikat jamin.

Bagaimanapun, peguam Badrul Munir yang mewakili Zuhairy memohon anak guamnya diberikan ikat jamin dengan kadar minimum kerana tertuduh hanya berpendapatan RM1,000 hingga RM1,200 sebulan.

Peguam Donny Abdullah memohon Nor Zuliana dibebaskan dengan jaminan minimum atas alasan tertuduh sedang hamil dan mempunyai anak-anak yang bersekolah.

Majistret Ayuni Izzati Sulaiman tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh, dan menetapkan sebutan pada 18 Julai depan.

Sementara itu, di mahkamah sesyen, Nor Zuliana yang hamil lima bulan, mengaku tidak bersalah menyebabkan kematian anak ketiganya itu.

Nor Zuliana, yang mempunyai lapan anak, didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Hakim Unaizah Mohd mahkamah menangguhkan akan memutuskan hari ini sama ada membenarkan Nor Zuliana diikat jamin atau tidak.

Media sebelum ini melaporkan seorang pemandu teksi membawa kanak-kanak malang itu ke hospital pada jam 1 petang selepas isterinya memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri.

Bagaimanapun sebaik tiba di Hospital Ampang, doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal.

Hasil pemeriksaan mendapati kesan luka pada badan, tangan dan kaki kanak-kanak itu, dipercayai didera dan disimbah air panas.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");