Jenayah

Subkontraktor dipenjara sehari, didenda RM1,500

mahkamah

KUALA LUMPUR – Seorang subkontraktor dihukum penjara sehari dan didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan seorang kontraktor menggunakan sebatang kayu, minggu lepas.

Majistret Zuraini Abdul Razak menjatuhkan hukuman itu ke atas Wong Teck Beng, 51, selepas dia mengaku bersalah dengan sengaja mencederakan Idris Ali, 51, dengan memukul di bahagian kepalanya.

Wong didakwa melakukan kesalahan itu di Tokong Jalan Burung Jentayu, di Taman Bukit Maluri, dekat sini pada 5.15 petang, 7 Jun lepas mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun, atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripadanya.

Zuraini sebelum menjatuhkan hukuman itu berkata bahawa kesalahan tertuduh adalah serius walaupun itu merupakan kesalahan pertamanya.
“Dalam apa jua kesalahan, kamu tidak boleh dengan sendiri menjatuhkan hukuman ke atas orang lain,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, Idris tidak berpuas hati dengan Wong, berhubung kerja pengubahsuaian sebuah rumah di Puchong yang dikendalikan Wong.

Dalam rayuannya, Wong yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan berbentuk denda dikenakan ke atasnya kerana dia telah memberi kerjasama kepada pihak polis dan menyerah diri selepas diberitahu polis sedang mencarinya.

Dia juga berkata ini merupakan kesalahan pertamanya. Pegawai Pendakwa Inspektor Zuraimi Kamarozzaman bagaimanapun berhujah kesalahan tertuduh serius kerana menyebabkan mangsa menerima tujuh jahitan di kepala yang boleh mendatangkan kematian.

“Oleh itu saya memohon hukuman yang setimpal dikenakan ke atas tertuduh sebagai pengajaran kepadanya,” kata Zuraimi. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");