Membawang Hari Ini

SuperMokh di pentas lagi

supermokh

Atas permintaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, teater SuperMokh bakal dipentaskan sekali lagi bermula 8 hingga 21 September depan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Diberi nama SuperMokh Sebuah Muzikal Restaging, teater ini turut mendapat tajaan utama daripada CIMB. Masih mengekalkan pelakon yang sama, watak Datuk Mokhtar Dahari atau SuperMokh akan dilakonkan oleh Awie, manakala, watak Datin Teng–ku Zarina dijayakan Maya Karin.

Diterbitkan Tall Order Productions Sdn Bhd di bawah kelolaan pelakon dan penerbit, Hans Isaac, teater ini juga turut mendapat kerjasama daripada Jugra Publications Sdn Bhd.

Kali ini, Hans turut bekerjasama dengan Harith Iskander untuk mengarahkan teater yang turut dibarisi oleh pelakon seperti Rashidi Ishak, Douglas Lim, Dina Nadzir, Radhi Khalid, Phoon Chi Ho, Oliver Johanan dan Clarence Kuna.

Meriwayatkan kisah hidup pemain bola sepak negara yang juga salah seorang ikon kesayangan Malaysia, Allahyarham Mokhtar Dahari, teater kali ini diharap dapat menarik generasi muda untuk lebih ramai menonton di samping memperkenalkan kepada mereka dengan lebih mendalam siapakah sebenarnya SuperMokh.

Melalui susunan lagu merdu yang bertaraf antarabangsa di dalam muzikal ini yang dicipta oleh Pengarah Muziknya, Michael Veerapen, ia turut disempurnakan lagi dengan seni kata indah oleh Adlin Aman Ramli dan seni tari yang dicipta oleh Adzwadi Saini.

Gabungan kesemua elemen ini diharap berjaya meninggalkan kesan yang menakjubkan terhadap pe–ngalaman teater yang dialami penonton.

Menerusi persembahan ini, penonton disuap dengan kisah hidup peribadi SuperMokh yang tidak pernah dikongsi dengan masyarakat dalam bentuk muzikal. Penonton terkesan dan terpaut dengan kisah serta onak duri yang perlu dilalui Mokhtar sebagai seorang jaguh bola sepak, seorang suami dan seorang bapa. Memori dan semangat kenegaraan dinyalakan semula dengan kehadiran nama gah seperti Soh Chin Aun, Santokh Singh dan Arumugam.

Muzikal ini memaparkan keazaman seorang jaguh bola sepak yang berjuang demi negara, seseorang yang disayangi dan disanjungi oleh seluruh negara. Ia juga membongkarkan betapa peritnya apabila beliau terpaksa mengakhiri kerjaya masyhurnya, beliau terpaksa meninggalkan bola sepak. Kebanyakan rakyat Malaysia masih merasakan yang Mokhtar tiada ganti.

Ditemui selepas pelancaran teater itu di Menara CIMB baru-baru ini, Hans berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan kesudian Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor untuk menjadi penaung bagi produksi ini dan Malam Gala yang akan diadakan.

“Dengan sukacitanya kami mengumumkan bahawa CIMB ialah penaja utama untuk muzikal ini. Syarikat-syarikat penaja lain akan diumumkan kelak. CIMB memberi sokongan kepada usaha kami memaparkan kisah seorang ikon negara melalui pementasan teater, sekali gus mempromosikan sebuah produksi tempatan bertaraf tinggi dengan piawaian antarabangsa.

“Kami percaya dengan sokongan CIMB, Supermokh Sebuah Muzikal akan menawan lebih ramai penonton dengan impak lebih hebat dan jarak capai yang lebih luas” jelas Hans.

Hadir sama pada pelancaran itu ialah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Eksekutif CIMB, Datuk Seri Nazir Razak.

Hans berkata, dia juga sangat mengalu-alukan orang ramai untuk datang menonton terutamanya bagi golongan muda yang masih tidak kenal siapakah SuperMokh.
“Saya sangat-sangat menggalakkan golongan muda kini untuk datang menonton. Ramai yang masih tidak tahu siapa dia Mokhtar Dahari dan apabila anda menyaksikan teater ini anda akan tahu siapa dia dan sejarah hidupnya.

“Malah, untuk kali ini ada beberapa babak yang tidak sempat kami persembahkan pada teater SuperMokh yang lalu, akan ditunjukkan pada kali ini. Antaranya babak dia didukung oleh tukang urutnya ketika sedang melakukan tawaf di Makkah,” katanya.

Sementara itu, Awie berkata, dia masih berasa takut walaupun akan melakonkan watak SuperMokh buat kali kedua.

“Perasaan saya masih sama seperti pertama kali saya menjayakan watak SuperMokh. Takut dan bimbang jika apa yang saya cuba sampaikan tidak disukai oleh ahli keluarga Allahyarham dan juga penonton.

“Namun saya bersyukur kerana mendapat sokongan daripada semua pihak dan akan berusaha menguruskan lagi berat badan sesuai dengan saiz Allahyarham ketika hayatnya.

“Saya juga sangat mengalu-alukan pemain bola sepak sekarang untuk sama-sama datang menonton tidak sekadar memberi sokongan, tetapi menghayati karakter sebenar SuperMokh yang mereka boleh jadikan panduan untuk bergelar seorang pemain bola sepak yang bagus dan berjiwa negara,” katanya.

Kepada penonton yang ingin menyaksikan teater ini, jangan lupa dapatkan tiket anda di kaunter box-office Istana Budaya atau ‘online’ di HYPERLINK www.ticket2u.biz.

Istimewanya buat pelanggan CIMB anda akan menerima potongan harga istimewa iaitu diskaun 10 peratus untuk pengguna Kad Kredit dan Debit CIMB manakala diskaun 15 peratus untuk pengguna Kad Kredit Preferred Infinite CIMB bagi tiket berharga dari RM166 ke RM306.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");