Perak Hari Ini

Suspek Larikan Wang Tunai RM235,280 Ditangkap

Polis berjaya menahan seorang suspek yang dipercayai melarikan wang tunai sebanyak RM235,280 yang dipindahkan daripada mesin juruwang automatik (ATM) ke sebuah van dalam satu kejadian, Selasa lalu.

Penangkapan tersebut dilakukan selepas polis menerima laporan daripada pengurus sebuah syarikat keselamatan yang beroperasi di Ipoh mengenai kehilangan wang tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Perak, Supt Maszely Minhad berkata, suspek seorang lelaki Melayu berusia 23 tahun yang juga merupakan juruteknik kepada syarikat keselamatan itu ditahan kira-kira jam 6 petang, kelmarin.

“Pada peringkat awal, tangkapan telah dilakukan terhadap tiga orang pengawal keselamatan masing-masing berusia dalam lingkungan 41 hingga 47 tahun yang bertugas pada hari kejadian untuk disoal siasat tetapi tiada pengakuan dibuat.

“Jadi, polis meneruskan siasatan dan tangkapan keempat dilakukan terhadap suspek yang kemudiannya membawa kepada penemuan wang tersebut di kawasan belukar di Kampung Bunga Tanjung, dekat Malim Nawar,” katanya pada sidang media di Ipoh, hari ini.

Walau bagaimanapun, pihak polis hanya menemui RM210,000 daripada jumlah keseluruhan wang terbabit dan bakinya dipercayai telah digunakan oleh suspek, katanya.

Beliau berkata, suspek telah direman selama tiga hari untuk disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

Suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan baru bekerja selama kira-kira 16 bulan dengan syarikat tersebut.

Sementara itu, Maszely turut memaklumkan kejayaan pihaknya membanteras kegiatan lanun cetak rompak dalam ‘OPS Cantas Khas JSJK’ yang telah dilancarkan oleh Bukit Aman beberapa minggu yang lalu.

“Sekitar jam 3 petang semalam, sepasukan polis daripada IPK Perak telah membuat serbuan di sebuah rumah di Taman Pertama dekat Ipoh hasil maklumat orang ramai.

“Hasil serbuan, kita berjaya menahan suspek yang merupakan seorang lelaki Cina berusia 48 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan cetak rompak di sekitar Perak,” katanya.

Tambahnya, dalam serbuan tersebut pihaknya berjaya merampas antaranya perisian computer, buku Cash Bill yang telah ditanda, kalkulator dan 341 kotak yang mengandungi lebih 151,000 keping DVD cetak rompak.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya memberi maklumat dan bekerjasama dengan pihak polis untuk membanteras kegiatan tersebut daripada terus berleluasa.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");