Sukan Hari Ini

Tagih idea Dollah

FAM3

Kelana Jaya: Sentuhan jurulatih tempatan terus menjadi sandaran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membimbing skuad Harimau Malaya apabila melantik bekas penyerang kebangsaan Dollah Salleh, semalam.

Dollah, 50, yang kini membimbing skuad juara Liga Perdana Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditawar kontrak dua tahun selaku ketua jurulatih kebangsaan bagi menggantikan Datuk K Rajagobal yang tamat kontrak pada 31 Disember lalu.

Keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Exco FAM kali pertama bagi penggal 2014-2018 yang dipengerusi Presiden Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Pemilihan Dollah itu sudah diduga walaupun FAM mempunyai beberapa calon lain termasuk pengendali sementara kebangsaan Datuk Ong Kim Swee serta dua jurulatih warga Jerman, Wolfgang Sidka dan Gert Engels.

Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah dalam sidang media selepas mesyuarat itu berkata, mereka belum memuktamadkan butiran kontrak namun FAM yakin pengendali kelahiran Melaka itu bersedia memikul cabaran baru itu.

“Kami sudah mengadakan perbincangan dengan Dollah sebelum ini dan secara dasarnya sudah ada persetujuan, tapi belum dimuktamadkan lagi.

“Kami akan mengadakan perbincangan akhir untuk memuktamadkan kontrak serta memaklumkan tugas yang akan beliau laksanakan,” katanya.

Dollah bukan saja mempunyai pengalaman luas sebagai pemain di pentas tempatan dan antarabangsa malah beliau juga dianggap jurulatih yang mempunyai sentuhan magis apabila menjuarai Piala Malaysia dengan tiga pasukan, Selangor MPPJ, Selangor dan Pahang.

“Beliau mempunyai pengalaman luas, legenda bola sepak negara. Kami juga memilihnya atas dasar rekodnya yang cemerlang sebagai jurulatih.

“Kami mahu melantiknya sebagai jurulatih sepenuh masa dan beliau perlu melepaskan jawatan dengan PDRM. Kami akan selesaikan kontrak Dollah dengan PDRM selepas ini,” kata Afandi.

Arena Metro cuba mendapatkan komen Dollah mengenai pelantikan itu namun jawapannya cukup ringkas: “Tak ada komen, terima kasih.”

-METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");