Jenayah

Tak sedih

loli

Seremban: Tiada reaksi sedih terpapar pada wajah ibu kepada remaja kurang upaya, Muhammad Firdaus Dullah, 15, yang berdepan dua pertuduhan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 ketika prosiding kesnya didengar di hadapan Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh di Mahkamah Sesyen 1, di sini, semalam.

Ketika diiringi masuk oleh anggota polis wanita dari lokap mahkamah ke kandang pesalah pada jam 10 pagi, Lolanopita Sadi, 40, yang memakai baju lokap warna jingga dan bertudung merah jambu kelihatan tenang serta hanya menoleh sepintas lalu ke galeri awam.

“Saya tidak mengaku bersalah dan mahu dibicarakan,” katanya dalam nada perlahan sambil menggelengkan kepala sejurus ditanya jurubahasa mahkamah yang membaca dan menerangkan pertuduhan kepadanya.

Dalam prosiding hampir setengah jam itu, galeri awam padat dengan wartawan dan orang awam yang mengikuti kes terbabit.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa sengaja mengabaikan anaknya itu dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi di sebuah bilik di rumah mereka di Blok 15-1-9 Flat Semarak, Nilai, dekat sini, antara Januari hingga jam 2.30 pagi, 21 Jun lalu.

Sekiranya disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 itu, tertuduh boleh didenda maksimum RM20,000 atau dipenjarakan sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, Lolanopita berdepan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 33 (c) akta sama kerana dengan sengaja membiarkan anaknya tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan dalam keadaan tidak berpatutan di tempat sama jam 2.30 pagi, 21 Jun lalu.

Pendakwaaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan Mohd Farid Mohd Mokhtar manakala tertuduh diwakili peguam Hanif Hassan.

Terdahulu, Hanif memohon anak guamnya dilepaskan dengan ikat jamin paling minimum sementara menunggu perbicaraan selesai atas alasan tertuduh mempunyai tanggungan dua anak iaitu mangsa dalam kes itu dan adiknya berusia tujuh tahun.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");