Membawang Hari Ini

Taylor Swift tunai impian peminat Malaysia!

taylor 2

PENANTIAN peminat Malaysia terhadap kehadiran bintang terkenal, Taylor Swift berakhir apabila penyanyi serba boleh itu menghiburkan ribuan penonton, di samping menunaikan impian peminat setianya yang digelar Swifties untuk melihatnya beraksi secara langsung dalam konsert The Red Tour di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Taylor Swift The Red Tour dibawakan oleh Cornetto, manakala AIA Bhd (AIA), sebuah syarikat insurans berprestij Malaysia bertindak sebagai penaja utama konsert Taylor Swift Live In Kuala Lumpur itu.

Seawal jam 3 petang, orang ramai berpakaian serba merah mengikut tema telah memenuhi pekarangan stadium lantaran rasa teruja menyambut kehadiran penyanyi kesayangan mereka itu.

Tepat jam 8.30 malam, tirai The Red Tour Malaysia dibuka dengan persembahan daripada band tempatan, I Am Neeta, membawakan lagu-lagu mereka, antaranya Tuhan Tolong aku dan lagu popular penyanyi John Legend bertajuk All Of Me.

Gelombang jeritan Swifties semakin kuat bergema apabila penyanyi berusia 24 tahun itu muncul di sebalik bayang-bayang silhouette di atas pentas sambil menyampaikan lagu pertama pada malam itu, State of Grace.

“Ini kali pertama saya datang ke Kuala Lumpur. Tak sangka sambutan peminat begitu hebat!,” kata Swift selepas selesai menyampaikan lagu pertamanya.

Ternyata penyanyi jelita itu juga bijak mengambil hati peminatnya apabila melaungkan ucapan “Terima Kasih” dalam Bahasa Melayu.

Bukan lagu cinta semata-mata

Dikenali sebagai artis versatil kerana mencipta kesemua lagu-lagunya sendiri dan memiliki vokal yang merdu serta memiliki paras rupa yang menarik, Swift kemudiannya berkongsi dengan penonton mengenai inspirasinya dalam pembikinan lagu-lagunya.

“Saya mula tulis lagu dari zaman sekolah. Saya tulis lagu mengenai perasaan dibuli oleh orang lain dengan tanggapan apabila kita membesar, perkara sedemikian akan berakhir. Ternyata rupanya perkara itu tidak berubah, cuma kita yang semakin kuat dan bijak menghadapinya,” ujarnya sepenuh perasaan yang telah menimbulkan suasana sayu dan terharu para penonton.

Dia kemudiannya melantunkan lagu Mean yang membawa mesej seperti diceritakan sebentar tadi.

Menurut Swift, ramai yang selalu bertanyakannya dari mana dia mendapat inspirasi untuk memulakan penulisan lirik lagunya.

“Selalunya saya akan tulis mengenai perkara yang menghantui saya, sama ada benda positif atau sebaliknya. Walaupun banyak memori pahit, akhirnya semua perkara itu tetap berakhir dan menjadikan siapa diri saya sekarang,” ujarnya lalu terus mendendangkan lagu All Too Well.

Persembahan bertenaga Swift bukan sahaja menampilkan penyanyi ini berdansa berkonsepkan video klip di atas pentas bersama penari, malah Swift turut bermain gitar dan piano, menonjolkan kekuatannya sebagai anak seni serba boleh.

Lagu-lagu lain yang dipersembahankan termasuklah Holy Ground, Red, You Belong With Me, Sparks Fly, Enchanted, Lucky One, I Knew You Were Trouble, Love Story dan We Are Never Ever Going Back Together.

Walaupun durasi persembahan Swift kira-kira 1 jam 30 minit itu dirasakan terlalu singkat, namun ia cukup bermakna buat Swifties yang bertuah dapat menyaksikan pemenang termuda Grammy Award kategori Album of the Year ini pada kunjungan pertama penyanyi tersebut di Malaysia.

Acara gilang-gemilang!

Taylor Swift Live In Kuala Lumpur merupakan sebuah lagi acara berjaya yang dibawakan oleh AIA Bhd sebagai penaja. Sebelum itu, mereka menganjurkan AIA Red Party di The Square @Publika pada 6 Jun lalu bersama beratus-ratus Swifties untuk meraikan countdown detik bermulanya Konsert Live Taylor Swift di Kuala Lumpur.

Kemuncak acara The AIA Red Party adalah Pertandingan Pakaian Terbaik di mana tetamu yang memakai pakaian berwarna merah paling menarik telah disenarai pendek dan dijemput untuk naik ke atas pentas untuk memukau orang ramai dengan versi nyanyian lagu idola mereka.

Pemenangnya, Ashley Tay dari Kuala Lumpur membawa pulang dua tiket ke AIA Real Life Now Festival 2014 dan akan dapat menyaksikan persembahan Lady Gaga, PSY serta Big Bang secara langsung di Seoul, Korea pada 15 dan 16 Ogos ini dengan semua perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh AIA.

Taylor Swift Live In Kuala Lumpur menandakan satu lagi program penajaan utama AIA yang telah meraih kejayaan yang besar selepas penganjuran konsert AIA K-POP di Kuala Lumpur pada Jun tahun lalu, yang menampilkan BEAST, 4Minute dan G.NA.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");