Jenayah

Teguk racun akibat kecewa

minum racun

TANJONG KARANG – Terlalu kecewa dengan jawapan yang diberikan wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kuala Selangor berhubung kerja pembersihan tanah rizab di Kampung Lubuk Jaya, seorang petani bertindak drastik meneguk racun serangga berwarna hijau terus dari botol bersaiz empat liter.

Tindakan Othman Dahlan, 59, yang tidak berhenti meneguk racun serangga itu mengejutkan semua yang hadir pada sesi dialog bersama Adun Permatang, Sulaiman Abd Razak dan Penolong Jurutera JPS Daerah Kuala Selangor, Kapli Md Damin sehingga menyebabkan program itu terhenti seketika.

Keadaan jadi lebih hangat dengan tindakan seorang lagi petani yang tidak dapat menahan marah lalu menendang meja dan menyepak kerusi menyebabkan penduduk lain terpaksa memaut tubuhnya untuk menenangkan mereka berdua.

Dengan suara sebak, Othman mahu pihak JPS melihat sendiri keadaan jalan ladang yang dibaikinya sendiri menggunakan kos yang di kumpul bersama anaknya yang juga penanam pisang dan kelapa sawit.

“Saya kecewa bila JPS kata mereka yang baiki jalan ladang yang berlumpur bila hujan itu, sedangkan kami anak beranak dan petani di sini yang membanting tulang cari duit sendiri nak baiki jalan ladang itu untuk keluarkan hasil.

“Kami sanggup berhabis RM28,000 untuk buat jalan ladang itu tapi jawapan JPS memang tak munasabah. Sampaikan kata ban benteng parit besar boleh runtuh? Sedangkan kami yang buat jalan ladang dan ban benteng ini jadi sempurna.

“Kami tak kisah kalau tanah rizab yang diusahakan dengan tanaman kelapa sawit itu dibersihkan tapi biarlah semua kerja itu dibuat menyeluruh sampai Kampung Bukit Belimbing, kenapa asyik Kampung Lubuk Jaya saja jadi mangsa?

“Jangan cakap depan kami lain tapi kemudian hari kata lain. Cukup-cukuplah tindas petani miskin seperti kami ini lagi,” katanya yang cukup berang dengan penjelasan wakil JPS berhubung kerja pembersihan tanah rizab itu.

Kerja pembersihan kena adil

Seorang lagi penduduk, Yusmainor Dahlan, 37, berkata, memang petani di kampung ini cukup marah apabila kononnya kerja pembersihan yang sepatutnya dilaksanakan semua kampung tidak dijalankan seperti yang dijanjikan.

“Sebelum ini penduduk akur apabila JPS janji nak bersihkan tanaman kelapa sawit yang kami tanam di sepanjang tanah rizab yang ada di kampung ini termasuk tanah rizab di kampung berhampiran.

“Tapi bila semu hasil kelapa sawit dimusnahkan di Kampung Lubuk Jaya, tak lama selepas itu tiada kerja pembersihan tanah rizab di Kampung Bukit Belimbing menyebabkan penduduk makan hati.

“Siapa tak sakit hati bila tengok orang lain senyum lebar keluarkan hasil sawit yang ditanam di tanah rizab sedangkan kami terpaksa menahan sabar. Bila tengok tiada kerja pembersihan dibuat, kami sepakat untuk menanam semula anak pokok tapi dimusnahkan lagi,”
katanya.

Yusmainor berkata, memang penduduk tidak mempunyai pilihan lain selain mengusahakan tanah di atas rizab kerajaan seiring kempen kerajaan terdahulu yang mahu memanfaatkan tanah rizab yang terbiar.

“Memang penduduk tak mampu nak beli tanah untuk kelapa sawit, bila kita sahut seruan kerajaan untuk memanfaatkan tanah rizab yang terbiar, lain pula jadinya. Keadaan lebih teruk bila kerajaan negeri bertukar.

“Di mana slogan kerajaan berkebajikan? Di mana mereka yang kononnya mahu membela nasib rakyat miskin? Kalau betul adil, kenapa tanah rizab kampung lain tak dimusnahkan sekali? soalnya.

Kemukakan surat bantahan

Sementara itu, Sulaiman menjelaskan, pihaknya akan mengemukakan surat bantahan terus kepada pihak JPS dan pentadbir tanah supaya kerja pembersihan tanah rizab di kampung itu dihentikan seketika.

“Selepas mendengar aduan petani dan penjelasan JPS, saya berpendapat lebih baik kerja pembersihan tanah rizab ini dihentikan seketika dan jika mahu diteruskan, kerajaan negeri kena adil dan buat secara menyeluruh.

“Jangan tumpu tanah rizab di Kampung Lubuk Jaya saja tapi kena menyeluruh semua Selangor, kalau betul tanah rizab tak boleh diusahakan sebarang bentuk tanaman kekal, kerajaan negeri kena bagi arahan menyeluruh.

“Kerajaan negeri kena timbang rasa sikit dan tengok sendiri rakyat di kampung ini yang rata-rata bergantung sepenuhnya dengan hasil pertanian,” katanya yang akan menyerahkan surat bantahan dalam tempoh terdekat.

Tidak mahu keadaan bertambah buruk, Kapli turut menyarankan kepada petani supaya membuat surat kepada pihak berkenaan supaya perkara ini diberi perhatian sekali gus mencapai keputusan menang-menang.

“Memang saya tak nafikan, kerja pembersihan tanah rizab di kampung ini dibuat dua kali disebabkan keadaan benteng di parit utama dikhuatiri runtuh disebabkan tanaman kekal seperti kelapa sawit.

“Ban benteng parit utama ini perlu dijaga kerana sebagai penampan air ketika musim banjir. Jika runtuh, dikhuatiri mengakibatkan kawasan penempatan penduduk terjejas dan dinaiki air.

“Bagaimanapun, saya hanya bertindak ikut arahan. Jika petani tak berpuas hati dan mahu kerja pembersihan dilaksanakan secara menyeluruh, mereka boleh ajukan kepada pihak atasan secara terus,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");