Isu Panas

Tiada Sebab Persoal Malaysia Sebuah Negara Islam – Dr. Asyraf Wajdi

JAKARTA, 22 Jun – Kedudukan Malaysia sebagai negara Islam tidak perlu dipersoalkan kerana ia sudah termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang mengisytiharkan Islam adalah agama Persekutuan.

Justeru itu, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata tiada sebab bagi mana-mana pihakuntuk membangkitkan perkara itu.

“Mereka yang mempersoal kedudukan Malaysia sebagai negara Islam sebenarnya berniat jahat terhadap kestabilan dan keharmonian yang dicapaiMalaysia sejak sekian lama,” katanya selepas perasmian Seminar Malaysia Ke Arah Transformasi 2014 oleh Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim pada Ahad.

Sempena seminar sehari anjuran bersama Yadim dan pejabat kedutaan itu, Asyraf turut membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Pendekatan Wasatiyyah dan Maqasid al-Syariah Dalam Transformasi Ekonomi di Malaysia’.

Asyraf menegaskan dalam Perlembagaan Persekutuan juga menjelaskan bahawa hak agama lain tidak dinafikan sehingga penganut agama Kristian, Buddha dan Hindu diberi ruang mengamalkan fahaman agama mereka.

Beliau berkata berbeza dengan negara sekular, Malaysia tidak dibangunkan atas doktrin agama yang dipisahkan terus daripada urusan politik dan pentadbiran negara.

“Di Malaysia, prasarana Islam dibangunkan dengan menggunakan dana negara. Kalau Malaysia sebuah negara sekular tentu tidak boleh sama sekali menggunakan dana negara untuk sebarang program agama Islam,” katanya.

Mengambil contoh usaha kerajaan mewujudkan, antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia serta Bank Islam dengan menggunakan dana negara, beliau berkata usaha berkenaan merupakan manifestasi kedudukan istimewa Islam di Malaysia.

“Semua ini dapat dilaksanakan menggunakan dana kerajaan kerana hakikatnya Malaysia meletakkan Islam pada kedudukan tertinggi dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Tidak mungkin sebuah negara yang ditakrifkan sebagai sekular boleh melaksanakan pelbagai dasar dan program berkaitan agama, tambahan pula menggunakan dana negara bagi tujuan mengembangkan Islam,” katanya.

Asyraf berkata provokasi yang dicetuskan parti pembangkang mengenai kedudukan Malaysia itu adalah terjemahan perasaan kurang senang pihak yang mempunyai kepentingan agenda politik mereka.

Justeru itu, beliau mengajak seluruh umat Islam agar kembali merapatkan saf untuk bersama-sama membangunkan Islam dan tidak terperangkap dalam polemik yang sengaja ditimbulkan itu.

Sambil melahirkan rasa kesal dengan sikap segelintir umat Islam yang khayal dengan provokasi bahawa Malaysia sebuah negara sekular, beliau menyifatkan golongan tersebut sebagai petualang negara.

“Golongan ini hanya mengikut rentak politikus pembangkang tanpa mahu memahami apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Mereka juga tidak cuba memahami apakah selama ini berlaku diskriminasi agama sehingga kedudukan Malaysia mahu terus dipersoal,” katanya.-

– MediaUMNO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");