Membawang Hari Ini

Tidur dalam kereta

aaron

“Sebelum popular, Aaron pernah buat macam-macam kerja. Dia pernah menjadi pelayan restoran, bekerja di pusat boling, jurujual kereta dan insu­rans,” kata Diyana Halik, 32, isteri yang juga pe­ngurus aktor popular Aaron Aziz, 38.

Menurut Diyana, selain terpaksa berjauhan de­ngan isteri dan anak-anak, Aaron juga pernah tidur dalam kereta yang bagaikan ‘rumah keduanya’ ketika mula-mula berhij­rah ke Kuala Lumpur untuk mencuba nasib dalam bidang lakonan dulu.

“Aaron juga sukar berpisah dengan anak-anak hinggakan saya terpaksa bersusah payah turun naik bas dari Singapura ke Kuala Lumpur untuk me­ngubat kerinduannya pada mereka.

“Sebab itu apabila orang kata dia cuba me­nyekat periuk nasi orang lain di sini dan macam-macam lagi cerita negatif mengenai­nya, saya amat sedih,” katanya.

Kejayaan dikecapi bintang filem Ombak Rindu dan drama bersiri Adam dan Hawa itu juga bukan datang bergolek, sebalik­nya dia bermula dari bawah dan bekerja keras membina nama selama beberapa tahun di negara ini.

“Walaupun sudah popular lebih awal di Si­ngapura, Aaron tetap ingin mengembangkan karier seninya di Malaysia, sekali gus mengubah nasib kami sekeluarga,” katanya.

Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz dilahirkan pada 23 Feb­ruari 1976 di Pasir Ris, Si­ngapura.

Anak kepada pasa­ngan Allahyarham Aziz Salim dan Juriana Jaafar, 63, ini ialah anak ketiga daripada empat beradik.

Hasil perkongsian hidup dengan Diyana selama 11 tahun, mereka dikurniakan tiga anak iaitu Danish Anaqi, 10; Dwi Ariana, 8, dan Dahlia Arissa, 4.

Wartawan RAP, Ram­lah Zainal ([email protected]) menemu bual insan paling rapat dalam hidup Aaron iaitu Diyana untuk me­ngimbas siapa sebenarnya Bintang Paling Popular, pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 dan 2013 ini dan pembabitan awalnya dalam bidang seni.


Mula berlakon dalam produksi bapa saudara Diyana

Menurut Diyana, dia mula berkenalan dengan Aaron ketika sama-sama terbabit dalam produksi milik keluarganya, Comm 2000 di Singapura pada 2001.

“Ketika itu saya baru berusia 19 tahun dan bekerja sebagai jurusolek artis termasuk untuk kesan khas dalam produksi terbabit.

“Aaron pula baru berusia 25 tahun dan berlakon dalam drama bahasa Ing­geris pertamanya iaitu War Diary terbitan produksi yang turut dibintangi pelakon Cina, Tay Ping Hui,” katanya.

Kata Diyana, dia juga tidak menyangka akan jatuh cinta pada Aaron, sekali gus menjadi isterinya hari ini.

“Ketika mula-mula melihat wajah Aaron, saya sempat bergosip dengan sepupu kerana dia antara pelakon baru yang kacak dalam senarai uji bakat untuk drama berkenaan.

“Saya memang tidak ada perasaan pun padanya dan turut mempersendakan nama Aaron kerana ingatkan dia menggunakan nama komersialnya itu untuk berlakon.

“Namun, sangkaan saya meleset apabila dapat tahu itu nama sebenarnya selepas melihat nama Aaron memang tercatat dalam salinan kad pengenalannya,” katanya.

Kata Diyana, dia mula berbual dengan Aaron selepas mereka terbabit dengan penggambaran di Pulau Ubin, Si­ngapura.

“Saya menjadi pembantu jurusolek kesan khas untuk projek berkenaan dan kami sama-sama balik menaiki bas selepas tamat penggambaran drama berkenaan.

“Aaron yang mula menegur saya terlebih dulu tapi sebenarnya dia seorang yang pendiam.

“Saya pula seorang yang banyak cakap dan memang ‘happy go lucky’.

“Namun, hubungan kami terputus selepas projek berkenaan selesai,” katanya.

Bagaimanapun, selepas sembilan bulan kemudian, Diyana berkata, dia bertemu semula dengan Aaron dalam satu projek baru terbitan produksi.

“Memang sudah jodoh kerana kami bertemu semula selepas dia putus tunang dan saya pula baru putus cinta ketika itu.

“Saya terus jatuh cinta dengannya kerana dia banyak membimbing dari segi agama. Mungkin sebab perbezaan usia kami jauh iaitu enam tahun.

“Aaron juga boleh bercakap dua hingga tiga jam dalam bab agama.

“Saya masih ingat lagi, hati tersentuh dan percaya dialah calon suami terbaik sebaik saja mendengarnya membaca ayat suci al-Quran selepas solat Maghrib ketika dia membawa saya untuk bertemu dengan ibu­nya sebelum ini,” katanya.


Aaron lamar Diyana di pentas

Sebagai isteri, Diyana sukar melupakan detik terindah ketika Aaron melamar­nya pada majlis anugerah Artis Paling Popular sempena Pesta Perdana di Singapura pada 2003.

“Aaron buat ucapan kemena­ngan yang ditujukan khas buat saya, sekali gus membuat pe­ngumuman saya adalah bakal isterinya pada majlis itu.

“Kami juga memutuskan untuk berkahwin pada 3 Ogos 2003 di Pasir Ris, Singapura” katanya.

Apapun, kata Diana, dia sangat bersyukur kerana rumah tangga mereka tidak goyah dan terus bertahan sampai hari ini.

“Bukan sedikit ujian yang perlu ditempuhi dalam memastikan rumah tangga kami terus utuh.

“Pada peringkat awal, saya mengalami kejutan budaya dan cemburu apabila suami dikelilingi artis wanita.

“Apa yang penting, kami juga saling percaya antara satu sama lain.

“Aaron juga tidak pernah berahsia dengan saya. Sebaik saja sampai di rumah, dia tidak akan menjawab sebarang panggilan telefon dan segala urusan berkaitan karier seni diserahkan pada saya.

“Namun, pengalaman empat tahun terbabit dalam kerja belakang tabir produksi banyak membantu saya mengendalikan apa saja cabaran yang datang termasuk kontroversi yang melanda dirinya,” katanya.

Sebagai bapa, kata Diyana, Aaron bukan saja seorang yang penyayang, malah sangat melindungi keluarganya.

“Orang boleh cakap dia macam-macam tapi ja­ngan sentuh atau meng­ganggu kehidupan isteri dan anak-anaknya,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");