Berita Hari Ini

Tindakan tiada perikemanusiaan

mohd yusof ahmad

SEREMBAN – Ibu bapa yang sanggup mengabaikan anak-anak, apa lagi golongan OKU, adalah tidak berperikemanusiaan.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, pengabaian terhadap kebajikan kanak-kanak merupakan satu kesalahan besar dalam Islam dan menunjukkan betapa mereka yang melakukan perbuatan demikian tidak bersyukur dan tidak reda dengan kurniaan Ilahi.

“Umat Islam hari ini perlu merenung kembali pada firman ALLAH dalam Surah at-Tin, ayat keempat, bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya”.

“Justeru, tidak sepatutnya manusia yang mempunyai akal fikiran dan perasaan, sewenang-wenangnya membenci anak mereka hanya kerana sedikit kekurangan,” katanya, semalam.

Apabila berlaku perkara demikian, katanya, maka hilanglah kemuliaan si pelaku, di mana tarafnya jauh lebih rendah berbanding haiwan.

“Haiwan yang tidak berakal pun tahu sayangkan anak dan berasa cemburu apabila manusia cuba mendekati zuriatnya. Malangnya, manusia yang berkedudukan lebih tinggi daripada haiwan pula enggan menyayangi anak sendiri.

“Golongan sebeginilah disebutkan dalam Surah at-Tin ayat kelima yang bermaksud: “Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka),” katanya.

Menurut Mohd Yusof, ibu bapa seharusnya bertanggungjawab terhadap anak masing-masing, walau dalam apa jua keadaan sekalipun dan bukannya menganggap mereka sebagai beban.

“ALLAH mengingatkan kita dalam Surah al-Isra, ayat ke-31, berbunyi: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut miskin. Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepadamu. Membunuh mereka itu suatu dosa yang besar”.

Menurutnya, kewajipan ibu bapa terhadap anak-anak ditekankan dalam hadis yang bermaksud: “Berdosa orang yang menahan nafkahnya ke atas orang yang ditanggungnya” (riwayat Muslim).

“Tidak cukup dengan itu, Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan Ibnu Majah, iaitu: “Sesiapa yang memberi nafkah kepada isterinya, anaknya dan ahli keluarganya, maka ia (nafkah) merupakan sedekah”.

“Ibu bapa pada masa kini perlu bermuhasabah diri dan sentiasa bersyukur dengan pemberian ALLAH, sama ada baik atau buruk,” katanya.

Beliau menyifatkan kes kesengsaraan Muhammad Firdaus Dullah, 15, sebagai bukti kekuasaan ALLAH kerana masih hidup, walaupun dibiarkan dalam keadaan teruk.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");