Sukan Hari Ini

Usah tambah beban Dollah

dollah salleh

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) digesa tidak menjadikan sasaran skuad negara muncul juara atau mara ke final Piala AFF hujung tahun ini sebagai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) untuk Dollah Salleh agar tidak membebankan ketua jurulatih baru itu.

Sambil menyifatkan tempoh kejohanan yang tinggal 145 hari sebagai terlalu singkat untuk membentuk pasukan mantap, pengkritik bola sepak Serbegeth Singh berkata, sasaran sebegitu juga boleh dianggap menzalimi Dollah.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Shebby bagaimanapun berkata, pemilihan Dollah ke jawatan itu memang sudah diduga berikutan kredibiliti dimiliki jurulatih berusia 50 tahun itu.

“Menjadi jurulatih skuad kebangsaan sudah pasti impian setiap individu bergelar jurulatih. Sudah pasti Dollah juga memikirkannya dan berdasarkan rekod liga tempatan, beliau memang antara calon paling sesuai.

“Tetapi jika FAM meletakkan KPI untuk Malaysia muncul juara atau mara ke final Piala AFF hujung tahun ini, bagi saya ia terlalu berat dan menzalimi Dollah.

“Berilah dia masa sekurang-kurangnya dua tahun (AFF 2016) bagi membuktikan kemampuannya. Saya takut, jika harapan terlalu tinggi diletakkan beliau mungkin tidak mampu menerima tekanan dan seterusnya menjadi mangsa penyingkiran FAM hingga reputasinya pula tercalar.

“Sebaliknya, FAM mesti realistik dengan KPI yang ingin diletakkan kepada Dollah dan saya yakin dia boleh membawa sinar baru kepada pasukan kebangsaan,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Dollah ditawar kontrak dua tahun yang dijangka bermula bulan depan, dengan aksi terdekat berdepan Tajikistan pada 6 Ogos ini di halaman lawan diikuti beberapa perlawanan persahabatan sebelum turun mengharungi Piala AFF.

“Ketika ini, pada saya, Dollah mesti memikirkan corak permainan yang ingin diterapkan kepada pasukan terlebih dulu. Mengenai pemilihan pemain, saya rasa beliau lebih arif dan kenal pemain tempatan mengikut gaya dan cita rasanya sendiri,” katanya.

Piala AFF akan berlangsung di dua negara, Singapura dan Vietnam dari 22 November hingga 20 Disember.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");