Membawang Hari Ini

Watak Shakilla hidup

shakilla

Gara-gara watak hitam dilakonkan, pelakon muda berbakat besar, Shakilla Khoriri bukan saja pernah diserang seorang wanita, malah pernah diugut untuk disimbah asid, sebelum ini. Semuanya kerana watak antagonis yang dilakonkan dalam pelbagai drama sepanjang lapan tahun terbabit dalam bidang seni.

Secara peribadi, Shakilla, 25, mengakui berasa takut dan trauma dengan kejadian yang menimpanya itu. Namun, demi minat mendalam dalam bidang seni, dia tidak pernah patah semangat untuk terus menempa nama dalam bidang lakonan.

“Saya anggap apa yang berlaku sebagai ujian dalam bidang seni. Apa yang penting, saya perlu pandai membawa diri. Saya juga lebih suka melihat kejadian itu dari sudut yang positif.

“Apa yang penting, watak hitam dilakonkan memberi impak pada penonton. Saya percaya lambat laun, selepas drama yang menampilkan watak antagonis itu berakhir, penonton akan menerima hakikat ia sekadar watak dilakonkan dalam drama semata-mata,” katanya.

Bagi pelakon yang dikenali menerusi watak Eja dalam drama bersiri popular, Adam dan Hawa ini, dia mengakui namanya masih belum menyerlah berbanding artis muda lain.

“Mungkin kerana saya tidak pernah dikaitkan dengan kontroversi mahupun gosip ditaja golongan VIP. Mungkin itu menjadi punca nama saya kurang popular berbanding artis muda lain.

“Walaupun saya agak kecewa kerana nama masih belum popular tetapi saya akur dengan ketentuan Tuhan. Takkanlah saya nak cetuskan gosip dan publisiti murahan semata-mata ingin nama cepat dikenali ramai.

“Pada masa sama, saya percaya setiap artis ada rezekinya masing-masing. Sebagai artis, saya akan terus berlakon dan memperbaiki kualiti dalam lakonan, sekali gus sama-sama memartabatkan bidang seni tanah air.

“Saya juga menjadikan rakan seperjuangan sebagai sumber inspirasi seperti pelakon muda Zara Zya dan Nad Zainal yang dicalonkan dalam Top 5, Artis Baru Wanita Popular, Bintang Popular Berita Harian 2013 selepas 10 tahun berlakon,” katanya.


Tawaran berlakon makin banyak

Biarpun kurang popular, Shakilla tetap bersyukur kerana masih mendapat kepercayaan daripada pengarah drama sampai sekarang.

Antara drama lakonannya yang ditayangkan di kaca TV ialah drama bersiri Aku Isterinya arahan Fairuz Loy yang diterajui pelakon Izzue Islam dan Anzalna Nasir untuk Slot Akasia TV3.

Selain itu, dia turut berlakon dalam drama bersiri sebanyak 60 episod, Kusinero Cinta arahan Feroz Kader yang juga gandingan Aaron Aziz, Tizz Zaqyah dan Jericho Rosales terbitan Global Station Sdn Bhd yang bersiaran di saluran Mustika HD ketika ini.

Dalam cerita yang membabitkan penggambaran di Kuala Lumpur, Manila dan Melbourne ini, Shakilla membawa watak Aishah, gadis bertudung yang juga kawan baik kepada Edrinna (lakonan Tizz).

Terbaru, Shakilla terbabit dengan penggambaran drama bersiri Delinna arahan bersama Khabir Bhatia dan Rosli untuk saluran TV9.

“Apa yang menarik, drama ini menampilkan barisan bakat baru seperti Fadlan Hazim, Ezzaty Abdullah, Zara Zya dan Puteri Chici. Ia bakal bersiaran pada November nanti di saluran TV9,” katanya.

Menyusul selepas itu, Shakilla bakal beraksi dalam telemovie raya arahan Sheila Rusly dan terbitan produksinya JS Pictures. Drama ini turut dibintangi Sheila dan menampilkan pelakon Amar Asyraf.

“Selain Khabir, kak Sheila antara pengarah yang saya impi ingin bekerja selama ini dan baru sekarang ia kesampaian. Bekerja dengan pengarah yang hebat secara tidak langsung membantu saya memperbaiki prestasi dalam lakonan. Saya juga ditawarkan watak anak kepada Sheila dalam cerita ini,” katanya.

Sebagai pelakon yang memiliki misi, Shakilla turut menaruh harapan untuk beraksi watak heroin dalam drama, sekali gus membuktikan kemampuannya dalam bidang lakonan.

“Selama itu, saya sering ditawarkan watak antagonis sedangkan saya inginkan variasi dalam lakonan. Bukan saja watak antagonis, saya juga sering ditawarkan watak pembantu dalam drama sepanjang terbabit dalam bidang seni. Justeru, saya menanti watak heroin dalam drama sekali gus untuk mencabar lakonan sedia ada,” katanya.


Pernah kena tipu dengan PA

Sebagai artis, Shakilla juga ada pengalaman pahit ditipu oleh pembantu peribadinya (PA) sendiri dua tahun yang lalu. Justeru, kata Shakilla, dia berasa serik untuk mengambil PA baru untuk menguruskan karier seninya ketika ini.

“Sebenarnya, saya yakin untuk mengambilnya menjadi PA saya kerana kami sudah kenal lama, sejak dulu. Bekas PA saya itu hanya sempat bekerja dengan saya selama lapan hari saja dan selepas itu dia sudah buat hal.

“Bayangkan, dia sudah mengambil wang pendahuluan sebanyak RM3,000 dan selepas itu dia menipu cek bayaran lakonan saya sebanyak RM5,000. Saya sudah membuat laporan polis tetapi sampai sekarang dia masih gagal dikesan.

“Kini, saya selesa menguruskan karier seni sendiri dengan bantuan anggota keluarga,” katanya.

Diminta mengulas cerita dirinya hangat bercinta dengan penolong pengarah drama pula, Shakilla menafikannya.

“Saya memang berkawan baik dengan penolong pengarah yang dimaksudkan itu kerana kami sudah kenal lama. Namun, kami tidak bercinta. Malah, saya juga sudah memiliki teman istimewa, tetapi si dia hanya kalangan orang biasa saja,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");