Sukan Hari Ini

Zaqhwan kuasai Temerloh

zaqhwan

MOHD Zaqhwan Zaidi terus mendominasi sesi ujian masa apabila muncul pelumba terpantas buat kali kelima berturut-turut dalam saingan CP130 pada pusingan kelima Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas musim 2014 yang berlangsung di Temerloh, Pahang, semalam.

Pelumba Givi Honda Yuzy Racing itu, turut muncul pelumba tunggal yang mencatat masa di bawah 44 saat setelah mencatatkan masa 43.753s pada pusingan ke-15, 0.595s di hadapan Ahmad Fazrul Sham (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) yang mencatatkan masa terbaik 44.348s.

Turut menempatkan diri di kelompok hadapan ialah Mohd Iskandar Raduan (Yamalube AHM) yang mencatat masa terbaik 44.583s.

“Keadaan litar pada musim ini, sedikit berbeza berbanding musim lepas. Jika pada musim lepas bentuk litar di Temerloh ini agak teknikal, namun kali ini selekohnya lebih lebar dan laju. Memang saya sukakan bentuk litar seperti ini yang memberikan banyak kelebihan kepada saya dan jentera,” jelas Zaqhwan.

Tampak seperti sukar dicabar oleh pencabar lain, Zaqhwan yang digelar ‘Raja Ujian Masa’ itu bagaimanapun positif dan mengambil langkah berhati-hati menjelang sesi Superpole dan perlumbaan akhir, hari ini.

“Cuaca minggu ini sangat panas, saya rasa perlumbaan ini adalah yang paling panas berbanding di litar lain sebelum ini. Cuaca sebegini bukan sahaja memerlukan ketahanan fizikal, malah memerlukan ketahanan jentera juga.

“Mungkin dari segi pelarasan jentera, saya dan jurutera pasukan perlu memberi tumpuan terhadap ketahanan enjin berbanding untuk mendapatkan kelajuan maksimum. Kesilapan di Muar memberi pengajaran berguna kepada saya. Saya tidak mahu kejadian seperti itu berulang. Kami akan merencana strategi terbaik menjelang perlumbaan nanti,” tambah Zaqhwan.

Dalam saingan CP115, tiga pelumba Motul Yamaha YY Pang menguasai sesi ujian masa dengan Zaidy Mohd Zaifaizal muncul pelumba terpantas dengan 44.691s.

Sementara itu, pendahulu kategori Wira, Khairul Idham Pawi yang masih segar dengan dua podium saingan Asia Dream Cup Kejuaraan Motosikal Asia Petronas di Indonesia, baru-baru ini meneruskan penguasaan apabila muncul pelumba terpantas dengan catatan 45.655s.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");