Jenayah

1 karam 1 sangkut

bot pancung

Johor Bahru: Anggota APMM hanya menyedari bot pancung yang dikejar di perairan Tanjung Piai, dekat Pontian, malam tadi, membawa pendatang asing tanpa izin apabila melihat penumpang bot terjun ke laut ketika bot itu sedang tenggelam.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah 6 Wilayah Selatan Kapten Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, 61 orang berjaya diselamatkan malam tadi.

Bagaimanapun menurutnya, dua daripada mereka iaitu seorang wanita berumur 20-an dan seorang lelaki berumur 30-an meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Aminah, di sini.

Menurutnya, dua lagi yang mengaku tekong bot berkenaan diselamatkan pada pukul 10 pagi tadi ketika sedang berenang di kawasan tidak jauh dari Pelabuhan Tanjung Pelepas dekat Gelang Patah.

Aminuddin berkata, operasi mencari dan menyelamat 17 lagi penumpang bot yang masih hilang sedang dilakukan di sekitar perairan itu dengan bantuan agensi berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Polis Marin dan Jabatan Pertahanan Awam.

Sementara itu, Penolong Pengarah (Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat) negeri, Mohd Rizal Buang berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 1.33 pagi itu, berlaku tiga batu nautika dari Tanjung Piai.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku akibat pelanggaran bot pancung itu dengan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia semasa Ops Tumpas.

“Pihak bomba menyelamatkan 61 mangsa, tetapi dua daripadanya (seorang lelaki dan wanita) meninggal dunia manakala 10 mangsa cedera dan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan dan 49 mangsa terselamat,” katanya.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa diteruskan mulai 8 pagi ini melibatkan 22 anggota Bomba dan Penyelamat Negeri.

Sementara itu, operasi menyelamat dan mencari (SAR) dibahagikan kepada empat sektor meliputi kawasan seluas enam batu nautika antara Tanjung Pelepas dan Tanjung Piai.

Operasi SAR diketuai APMM itu turut disertai bomba, Jabatan Pertahanan Awam dan Jabatan Laut.

“Bomba ditugaskan mencari di Sektor D, sekitar dua batu nautika dari Tanjung Pelepas. Keadaan laut masih air pasang sehingga jam 4.30 petang (semalam). Pasang surut air laut sedikit sebanyak mempengaruhi operasi SAR,” kata Mohd Rizal.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");