Jenayah

Air pasang besar gemparkan penduduk

paras laut

Arau: “Emak balik rumah sekarang, saya takut sebab air laut masuk rumah kita,” kata Muhd Yaqin Yahya, 14, ketika menghubungi ibunya Siti Halimah Ahmad, 42, apabila rumah mereka ditenggelami air sedalam 0.3 meter akibat fenomena air pasang besar di Kampung Sungai Padang, Sanglang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi, rumah keluarga Muhd Yaqin antara enam kediaman di kampung itu dinaiki air berikutan terletak kira-kira 10 meter dari pantai.

Muhd Yaqin berkata, ketika kejadian, dia mengulangkaji pelajaran di rumah seorang diri sementara ibunya ke pasar di Pekan Simpang Empat.

Menurutnya, sebelum itu dia terdengar angin bertiup kencang serta ombak menghempas tebing batu di tepi pantai jam 10 pagi.

“Saya ketakutan kerana tiada sesiapa di rumah manakala air laut pula mula melimpah masuk, menyebabkan saya panik lalu menghubungi ibu kerana khuatir tidak dapat menyelamatkan barangan serta dokumen penting.

“Pada masa sama, saya hanya mampu berdoa supaya tiada kejadian buruk berlaku berikutan ini kejadian kedua tetapi tidak seteruk sebelum ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya.

Siti Halimah berkata, dia turut berdoa supaya anaknya selamat ketika fenomena itu melanda.

Menurutnya, pada mulanya dia menyangka anaknya bergurau, namun mengubah fikiran selepas mendapati Muhd Yaqin menangis selain terdengar bunyi ketukan kuat.

“Saya terus pulang ke rumah tanpa sempat membeli keperluan memasak juadah berbuka puasa dan bersyukur tiada perkara buruk menimpa Muhd Yaqin.

“Hanya rumah dimasuki air namun saya bimbang kerana berdasarkan pengalaman dua tahun lalu, paras air naik semula selepas surut,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Perlis Penolong Penguasa Bomba Md Azlan Jamaluddin yang mengetuai operasi ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.46 pagi sebelum dua jentera bersama lapan anggota dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, tinjauan mendapati fenomena air pasang besar berlaku di sepanjang Jalan Kuala Sungai Padang ke jeti feri Kuala Perlis dan pihaknya turut membantu memindahkan perkakasan di enam rumah dimasuki air di Kampung Sungai Padang, Sanglang.

“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Kami masih memantau situasi ini selain laluan tepi pantai sepanjang 14 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Perlis hingga Kuala Sanglang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Meteorologi Perlis Mohd Khalil Abd Aziz ketika dihubungi berkata, fenomena air pasang besar yang berlaku dua kali dalam tempoh 24 jam berpunca akibat daya tarikan graviti bulan yang memberi kesan terhadap paras air laut di bumi.

“Fenomena air pasang besar biasanya berlaku apabila bulan penuh kerana ketika itu jarak antara bulan dan bumi adalah paling hampir berbanding orbit biasa, menyebabkan kesan maksimum berlaku terhadap paras air laut,” katanya.

-metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");