Sukan Hari Ini

Badang tak pernah hampakan Malaysia

badang 1

Kuala Lumpur: Sukan angkat berat tidak pernah mengecewakan kontinjen negara di Sukan Komanwel sejak 16 tahun lalu apabila sentiasa menyumbangkan pingat emas.

Bermula dengan kejayaan Mohd Hidayat Hamidon yang mengungguli kategori 69 kilogram pada edisi 1998, kecemerlangan itu diteruskan Amirul Hamizan Ibrahim (2002), Mohd Faizal Baharom (2006) dan empat tahun lalu Amirul Hamizan dan Arricco Jumitih menyumbang dua emas buat kontinjen negara di New Delhi, India.

Tradisi cemerlang itu mahu diteruskan barisan badang negara yang terpilih ke Glasgow, Scotland dengan sandaran utama kini terletak kepada pemenang pingat gangsa 2010, Mohd Hafifi Mansor yang bersaing dalam kategori 69kg.

“Memang terdapat sedikit tekanan apabila memikirkan tentang Sukan Komanwel nanti. Tumpuan pasti akan terarah kepada saya kerana beberapa senior lain tidak ke Scotland namun ini adalah asam garam bertanding. Siapa yang tidak mahu merangkul emas jika berpeluang. Ini adalah penampilan kedua saya di Sukan Komanwel, jadi saya akan buat yang terbaik.

“Jurulatih baru dari Indonesia, Lukman banyak membantu saya kali ini dengan meningkatkan prestasi sejak menjalani latihan bersamanya pada awal tahun ini. Saya tidak mahu mensia-siakan harapan yang disandarkan Majlis Sukan Negara (MSN) kerana Lukman hanya memberi fokus kepada saya seorang saja. Saya akan memberikan aksi terbaik,” katanya.

Turut menjadi tumpuan kehadiran semula pemenang pingat emas edisi 2006, Faizal yang bakal bersaing di Glasgow dalam kategori 56kg selain beberapa atlet muda negara seperti Mohd Azril Uzairi Ramli yang dilihat mampu melakar kejutan.

Mengenai ketiadaan Datuk Lee Chong Wei, salah seorang prospek emas negara, Hafifi berkata, ia adalah sesuatu yang mengejutkan kerana kebiasaannya pemain nombor satu dunia itu sentiasa menyumbang emas kepada kontinjen negara.

“Ketiadaannya seperti menjadikan kontinjen seperti tidak lengkap kerana dia adalah pemain bintang. Namun sukan lain perlu mempamerkan kebangkitan bagi mengisi ketiadaannya,” tambahnya.

Skuad angkat berat negara menampilkan lapan atlet dalam kategori lelaki dan empat wanita dengan kontinjen negara kali ini diketuai Presiden Persatuan Angkatan Berat Malaysia (PABM), Datuk Ong Poh Eng meletakkan sasaran tujuh pingat emas di Glasgow.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");