Jenayah

Bapa dakwa anak dipukul sekumpulan remaja

SEREMBAN – Seorang bapa mendakwa anak lelakinya dipukul oleh sekumpulan remaja dalam kejadian di sebuah rumah kedai bertingkat yang terbengkalai di Bandar Seremban Selatan, Sungai Gadut dekat sini, Khamis lepas.

Mohd Azzian Basin, 43, mendakwa dalam kejadian 9.30 malam itu, anaknya, Mohd Nadzmi Aqiff, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seremban Jaya 2, mengalami sakit di dada dan tangan kanan serta bengkak di pipi sebelah kiri.

“Anak saya menaiki motosikal untuk ke sebuah stesen minyak di Taman Seremban Jaya (berhampiran Bandar Seremban Selatan) apabila dia ditahan dalam perjalanan oleh sekumpulan sembilan remaja yang menaiki lima motosikal.

“Mereka kemudian bertindak memukul anak saya, sebelum memaksa anak saya menaiki satu daripada motosikal mereka dan membawa anak saya ke sebuah rumah kedai bertingkat yang terbengkalai di situ (Bandar Seremban Selatan). Apabila sampai di situ, anak saya ditumbuk dan ditendang oleh tiga daripada mereka.

“Malah, seorang daripada mereka mengeluarkan sebilah pisau dan mengugut untuk membunuh anak saya. Anak saya kata dia tidak tahu apakah motif mereka berbuat demikian,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Bandar Seremban Selatan, hari ini.

Mohd Azzian, seorang Penghulu telah membuat laporan polis dan berharap polis dapat menjalankan siasatan mengenai kes itu.

“Saya mengetahui kejadian itu Jumaat lepas dan terus membawanya ke Hospital Tuanku Jaafar untuk rawatan,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");