Jenayah

Berbogel minta bantuan

budak

Gemas: Seorang kanak-kanak berlari dalam keadaan bogel untuk meminta bantuan jiran sekali gus menyelamatkan neneknya yang menghidap sakit sendi dan bertongkat daripada rentung selepas rumah mereka di FELDA Palong 5, Jempol, dekat sini, terbakar, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, kanak-kanak terbabit Eqwan Marsyal Morarasyal, 5, baru selesai mandi dan mahu mencari baju di dalam almari di ruang tengah rumah sebelum melihat percikan api pada bahagian kabel elektrik di situ.

Murid tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) itu kemudian bergegas ke dapur dan memanggil neneknya, Jaliah Harisun, 61, yang ketika itu sedang memasak juadah berbuka puasa dan memberitahu kejadian itu.

Menurut Jaliah, dengan bertongkat dia pergi memeriksa dan terkejut melihat percikan api daripada kabel yang terbakar jatuh ke tempat rak pakaian yang ada di situ.

Katanya, dalam keadaan cemas, cucunya yang belum sempat memakai pakaian bergegas keluar memaklumkan kepada jiran yang kemudian datang memapah dia keluar dari rumah yang sedang dijilat api.

“Jika tidak kerana cucu memberitahu jiran rumah sedang terbakar, tidak tahulah apa akan berlaku kepada saya.

“Sudahlah berjalan menggunakan tongkat sebab sakit sendi dan lutut, hendak menyelamatkan diri sendiri pun dibantu jiran,” katanya ketika ditemui semalam.

Walaupun bersedih kerana tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran itu, dia tetap bersyukur terselamat hasil tindakan pantas cucu memberitahu jiran mengenai kejadian.

Katanya, ketika kejadian hanya dia dan cucu yang dipelihara sejak kecil itu berada di rumah manakala suaminya Adnan Ahmad, 59, berada di kebun.

“Pagi kejadian (kelmarin) saya sempat hias rumah dengan langsir baru untuk Aidilfitri. Persiapan lain seperti baju raya turut hangus,” katanya.

Jaliah berkata, keluarganya kini tinggal sementara di rumah kakitangan FELDA Palong 4,5 dan 6.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bahau Norazhim Mohd Shah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 5.12 petang dan lima anggota diketuai oleh Pegawai Bomba Ramelan Ribut bersama sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya, turut membantu dalam operasi memadam kebakaran enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gemas dan lapan anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Palong Enam.

Norazhim berkata, ketika pihaknya sampai di lokasi kejadian pada jam 5.52 petang, rumah berkenaan sudah 50 peratus terbakar dan usaha memadam api sudah dilakukan oleh anggota bomba dari Balai Bomba Gemas yang tiba pada 5.40 petang bersama PBS.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");