Jenayah

Buat apa saya jual anak sendiri?

jual anak sndri

IPOH –  “Buat apa saya mahu jual anak. Empat orang (anak) saya boleh jaga sebelum ini, takkan yang bongsu tak boleh jaga?,” kata K Kanagavalli, 31, ibu kepada seorang bayi yang dikatakan ‘dicagar’ sebelum ini.

Menurutnya, tuduhan kononnya dia mendapat tawaran RM20,000 bagi bayi tersebut adalah tidak benar dan mengarut.

Kanagavalli berkata, dia sendiri tidak sanggup berpisah dengan anaknya itu, apatah lagi mahu menjualnya kepada orang lain.

“Anak bukan untuk dijual malah ia salah di sisi undang-undang, boleh kena penjara. Jika betul saya nak jual, saya dah buat untuk anak-anak sebelum ini tapi saya sayangkan mereka.

“Saya tak peduli apa pun yang akan terjadi. Saya tetap akan dapatkan anak saya kembali walau dengan apa cara sekalipun,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Wanita itu berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris kelmarin yang menyiarkan kenyataan seorang wanita mendakwa mendapat tahu seseorang telah menawarkan RM20,000 untuk bayi berkenaan.

Kanagavalli berkata, jika melalui rundingan dan tindakan pihak berkuasa gagal, dia akan mengambil tindakan undang-undang.

Katanya, perbincangan sudah dibuat dengan Adun Buntong, S Sivasubramaniam bagi mendapatkan khidmat peguam untuk menyelesaikan isu ini melalui proses mahkamah.

“Ini (proses mahkamah) merupakan jalan terakhir yang boleh saya gunakan untuk mendapatkan kembali anak saya.

“Saya tak nak satu sen pun duit dari sesiapa yang mahukan anak saya. Biarlah susah senang saya jaga dia,” katanya lagi.

Sementara itu, Sivasubramaniam yang dihubungi mahu masalah berkenaan diselesaikan segera dengan cara baik.

Beliau berkata, pihaknya akan cuba membantu mendapatkan kembali anak wanita berkenaan.

Kisah Kanagavalli sebelum ini mendapat perhatian umum apabila dia menyerahkan bayinya yang berusia lapan bulan kepada pasangan suami isteri dalam tempoh dua hari sebagai persetujuan untuk meminjamkan wang sebanyak RM3,500 bagi menyelesaikan saman trafik suami.

Bagaimanapun Kanagavalli meminta anaknya itu dipulangkan semula selepas dikatakan gagal mengesan keluarga berkenaan, sejak dua bulan lalu.

Namun suri rumah, dikenali sebagai Ayu yang menjaga anak terbabit selepas itu tampil memberikan penjelasan bahawa anak itu tidak dicagarkan sebaliknya wang RM3,500 yang diserahkan sebelum ini sebagai sagu hati kerana memberi hak penjagaan kepada bayi berkenaan.

Sementara itu, dalam laporan sebelum ini, suri rumah dikenali Ayu menjelaskan, tiada istilah cagar anak kerana bayi tersebut memang diserah untuk jagaannya.

Katanya, dalam kejadian Mei lalu, pasangan suami isteri, K Kanagavalli dan R Nages Rao menyerahkan anak mereka yang ketika itu berusia lapan bulan kepada keluarganya untuk dijaga.

Menurutnya, dia dan suami bersetuju mengambil bayi berkenaan atas dasar prihatin bagi memberi kehidupan lebih baik memandangkan kesempitan hidup dihadapi keluarga yang mempunyai lima anak itu.
Katanya, dia juga proses mendapatkan hak penjagaan secara sah sudah dilakukan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bagaimanapun katanya, dia dan suami sedia untuk menyelesaikan isu yang berlaku melalui perbincangan secara keluarga.

-Sinar  harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");