Membawang Hari Ini

Cari kelainan dalam berkarya

ayu

Dalam industri, nama produser wanita ini barangkali belum gah seperti mana produser lain. Sering kali selepas diberitahu produk yang pernah dihasilkan barulah dapat gambaran siapa sebenarnya dia.

Bagaimanapun, pemilik syarikat produksi Pencil Pictures & Records, Datuk Normashayu Puteh atau mesra disapa Datuk Ayu lebih suka produknya jadi bualan berbanding dirinya. Sudah menerbitkan filem Aku Ada Kamu Ada dan Tokan, dia sendiri berasakan seeloknya hasil kerjanya menunjukkan sebaliknya.

Tidak mahu berhenti dan tidak akan puas, keinginannya membuak-buak mahu menghasilkan filem luar biasa bahkan filem terbarunya sudah pun tamat penggambaran berjudul Gamatisme yang menampilkan nama hebat seperti Nabila Huda dan Syazwan Zulkifli.

Bercerita mengenai filem itu, menurutnya dia sentiasa mencari satu jalan cerita yang ada kelainan dan ia bakal terlihat pada Gamatisme. Bahkan, dia sendiri tidak sabar menunggu hasilnya kelak memandangkan penggambaran boleh dikatakan berjalan hampir sempurna.

“Secara peribadi saya sangat puas hati dengan keseluruhan penggambaran filem itu dan paling saya terharu apabila barisan pelakonnya sangat komited dan memberi 100 peratus dalam menghidupkan karakter mereka.

“Saya sendiri sangat sukakan konsep filem itu dan sekarang perlu positif serta berserah saja bagaimana penerimaannya kelak. Gamatisme dijadualkan akan masuk ke panggung penghujung tahun ini,” katanya.

Mengimbas semula filem sebelum ini Tokan hasil terbitan syarikatnya, percubaan itu jelas tidak mengecewakan apabila mengangkat tema berkaitan dadah serta disadur elemen drama kekeluargaan. Apapun, dengan pasaran filem tempatan kala ini, Tokan belum benar-benar berjaya menarik sambutan luar biasa.

Tidak ralat malah menganggap lega sekurang-kurangnya filem itu membuka mata, Ayu menyifatkan ia permulaan baik terutama bagi produser sepertinya yang baru mengukuhkan nama. Selagi tidak puas, katanya dia tidak akan berhenti.

“Sebenarnya daripada segi sambutan memang sangat memberangsangkan malah keuntungan pun dapat balik. Sekarang ini memang fokus saya akan terarah kepada filem saja dan tidak pernah rasa serik untuk menghasilkan lebih lagi.

“Di samping itu, saya juga akan mula mengambil risiko pada masa ini memantau segala proses penghasilan filem kerana sebelum ini banyak bergantung kepada pihak lain. Saya hendak rasa sendiri serta menilai mana kelemahan baik dari segi produksi, promosi dan lain-lain,” katanya.

Ditemui pada majlis berbuka puasa meraikan anak yatim dari Asrama Damai Kuang, Ayu turut meuar-uarkan mengenai filem itu selain melancarkan produk terbaru perusahaan kecantikannya jenama Opiel Secret.

Bertempat di Restoran Puteri, Taman Tun Dr Ismail, majlis sederhana itu turut dihadiri barisan artis seperti Syazwan Zulkifli, Wanna Ali serta diserikan dengan persembahan daripada penyanyi Mac Rahayu serta Keena Mentor.

Menurut Ayu menjadi kewajipannya setiap tahun mengadakan acara sebegitu bagi meraikan anak yatim. Bezanya tahun ini, dia menjalankan acara itu serentak dengan agenda seni dan perniagaannya.

“Selalunya saya jemput anak yatim datang ke rumah. Namun, berikutan filem akan keluar tidak lama lagi dan kebetulan ada produk baru dilancarkan, saya buat sekali saja semua,” katanya.

Dulunya dikenali dengan nama Pencil Pictures saja, ditanya kenapa kini bertukar Pencil Pictures & Records, katanya bermula saat ini setiap runut bunyi filemnya akan dihasilkan sendiri serta mengetengahkan bakat naungan syarikatnya.

“Selain sibuk dengan agenda menguruskan syarikat produksi, hartanah dan perusahaan kecantikan, kali ini saya akan lebih fokuskan kepada produksi sendiri di mana selain pelakon, saya juga mahu mencari penyanyi.

“Satu permulaan yang cukup baik buat Pencil Pictures & Records, saya kini mahu mengembangkan bakat di bawah naungan saya termasuk pelakon dan penyanyi,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");