Jenayah

Darah menitis dari tingkat atas

darah

SEREMBAN – Misteri titisan darah dikesan seorang penduduk pangsapuri Rasah Jaya, di sini, beberapa hari lalu terjawab apabila sepasang suami isteri ditemui mati dalam keadaan tergantung di tingkat atas pangsapuri berkenaan, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, mangsa, Chong Wei Chai, 66, dan isterinya, Yap Chui Peng, 58, ditemui mati di dua lokasi berasingan dalam sebuah rumah yang terletak di tingkat 1 blok E berkenaan.

Pasukan polis bertindak memecahkan pintu rumah terbabit selepas penduduk membuat laporan berhubung bau busuk dari rumah pasangan warga emas terbabit.

Penduduk yang dikenali sebagai Dewi, 34, berkata, dua hari sebelum itu, salah seorang jirannya yang merupakan seorang warga Indonesia terkejut apabila setitik ‘air merah’ mengenai tangannya ketika menyapu sampah di belakang rumah.

“Dia kemudian memandang ke atas untuk melihat dari mana punca ‘air merah’ itu turun, namun tidak mengesyaki apa-apa,” katanya.

Menurutnya, sehinggalah malam kelmarin, dia serta jiran lain terhidu pula bau busuk sekitar kawasan pangsapuri berkenaan, lalu meminta bantuan anak untuk melihat keadaan di dalam rumah tersebut.

“Malangnya mereka tidak berjaya membuka pintu rumah itu. Malah, setiap panggilan kami tidak dijawab cuma kelihatan terdapat ‘air merah’ mengalir keluar dari paip belakang di rumah tersebut.

“Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, saya kemudian menghubungi polis yang bertindak membuka pintu berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini semalam.

Dewi berkata, kali terakhir dia nampak pasangan tersebut pada Khamis lalu dan difahamkan pasangan itu mempunyai seorang anak lelaki berusia 30-an yang masih menganggur.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Baharuddin Mustapha berkata, sebaik sahaja anggotanya memasuki rumah tersebut, pihaknya mendapati mayat Chui Peng di bilik kedua, manakala mayat suaminya di ruang bilik belakang.

“Kedua-dua mereka ditemui mati tergantung dengan menggunakan tali. Bagaimanapun, tiada sebarang kesan calar ditemui.

“Setakat ini, kita mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut berikutan tiada sebarang unsur jenayah ditemui di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mayat itu  dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar di sini untuk bedah siasat.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");