Membawang Hari Ini

Emosi Ziana

ziana zain

Biarpun tidak merasa beban dipikul, namun sebagai bekas pramugari dan lebih-lebih lagi suami yang masih bertugas di awan biru sebagai Ketua Pramugara Penerbangan Malaysia (MAS), tragedi MH17 yang ditembak lalu terhempas di Ukraine, berhampiran sempadan Russia, Khamis lalu, cukup menyentuh tangkai hati penyanyi terkenal, Ziana Zain.

Malah, impak nahas itu turut dirasai suaminya, Armin Zaharin Ahmad Zambri yang seakan-akan tidak dapat menerima hakikat teman dan rakan sekerja pergi dengan cara yang menyayat hati.

Menceritakan detik-detik mendapat tahu nahas MH17, Ziana berkata, tangan suaminya menggeletar sebaik menerima perkhabaran buruk itu.

Saya nampak Armin sangat terkejut hingga tangannya menggeletar. Armin tidak menyangka anak-anak kapal yang baharu saja ditemuinya beberapa hari lalu, terbabit dalam tragedi itu.

Perasaannya menjadi semakin sayu sebaik menyaksikan saluran berita antarabangsa yang menyiarkan kejadian menyayat hati itu, kata penyanyi bersuara lantang ini ketika ditemui pada majlis Syawal Berlian Safi Rania Diamond di Perkasa Ballroom, Wisma Perwira, Jumaat lalu.

Ziana berkata, nahas MH17 menjadi topik perbincangan hangat beliau dan teman-teman sealiran menerusi Whatsapp.

Kami melahirkan rasa terkejut dan simpati. Ini kerana ada antara mangsa saya kenal dan pernah bertugas bersama, ujarnya.
Ketika perasaan sedih atas kehilangan pesawat MH370 masih berbekas di hati, tragedi MH17 dianggap merumitkan lagi situasi.

Keadaan itu menyebabkan ramai yang bertindak menyalahkan MAS dan mengeluarkan kata-kata nista terhadap syarikat penerbangan kebangsaan itu.

Enggan perbalahan itu mencetuskan impak yang kurang menyenangkan, Ziana meminta orang ramai tidak mengeruhkan lagi keadaan dengan menuding jari terhadap MAS.

Sekarang ini adalah masanya untuk kita bersatu. Kita tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya, jadi tak perlulah nak salahkan sesiapa.

Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah berdoa semoga segala-galanya baik-baik saja, katanya.

Tunai hajat terpendam sejak lima tahun lalu

Suaranya bertukar menjadi sebak dan manik-manik jernih mula mengalir dari kolam matanya sebaik topik perbualan beralih kepada isu konsertnya di Melaka yang terpaksa dibatalkan pada saat akhir.

Situasi itu sudah cukup menterjemahkan betapa kecewanya Ziana apabila konsert yang selama ini menjadi impiannya itu tidak dapat diteruskan.

Saya sangat sedih apabila membaca mesej peminat yang mengakui sangat hampa dan kecewa apabila konsert itu terpaksa di batalkan. Tapi saya percaya setiap kekecewaan itu ada rahmat di sebaliknya.

Mungkin Allah nak bagi rezeki yang lebih besar lagi, tutur ibu kepada empat cahaya mata ini.

Walaupun terkilan dengan dugaan itu, namun semangat untuk terus mengadakan konsert tidak pernah pudar. Malah, Ziana akan tetap mengalu-alukan mana-mana pihak yang berminat menaja konsertnya itu.

Muncul dengan imej bertudung ketika sambutan Nuzul Al-Quran lalu ternyata cukup melegakan hati wanita ini. Mengapa tidak, hasrat yang disimpan sejak lima tahun lalu akhirnya terlaksana.

Perubahan fizikal itu juga disambut baik oleh keluarga termasuk suami dan anak lelakinya.

Armin masa mula-mula kahwin dulu ada beritahu saya mengenai soal tudung. Cuma dia tidak pernah memaksa. Jadi bila saya berhijab, saya tahu beliau suka dan anak lelaki saya, Aiman hanya senyum saja.

Niat untuk mengenakan tudung ini memang sudah lama. Cuma saya mahu memastikan saya benar-benar bersedia. Sejak Ramadan tahun ini perasaan itu datang tiba-tiba dan saya ikut saja perasaan itu dengan penuh rela, kata kakak kepada penyanyi Anuar Zain ini.

Biarpun sudah berhijab, namun menurut penyanyi berusia 46 tahun ini beliau masih seperti Ziana yang dulu.

Saya masih macam dulu-dulu. Masih lagi jadi seperti diri sendiri. Saya juga bersyukur kerana kebanyakan produk yang menjadikan saya sebagai duta mereka, tak kisah dengan imej baru saya ini. Mereka boleh menerimanya, kata Ziana.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");