Sukan Hari Ini

Empat terbaik: Bakat muda taruhan Perak

pemain import

EMPAT terbaik, itu sasaran ditetapkan Perak pada saingan Piala Malaysia musim ini.

Menamatkan saingan Liga Super pada kedudukan kesembilan, sekali gus ‘menyelamatkan diri’ untuk terus beraksi dalam saingan liga utama negara itu, The Bos Gaurus kini mula mencongak nasib dalam saingan Piala Malaysia pula.

Setelah kecewa pada saingan musim lalu hingga menyaksikan penghijrahan beramai-ramai sebahagian besar pemain utama, skuad Kejor Yeop Skor itu kini dilihat bergantung harap kepada kesebelasan pemain muda termasuk beberapa pemain baharu yang terpilih hasil sesi pemilihan terbuka pada awal musim.

Apatah lagi dengan struktur pengurusan serta kejurulatihan baharu yang dibentuk pastinya mengundang ‘harapan menggunung’ peminat serta penyokong bola sepak Perak.

BUKAN JAMINAN

Diundi bersama Sarawak, Terengganu dan Kedah bagi saingan Kumpulan B pada saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia musim ini, pastinya menjanjikan saingan sengit antara keempat-empat pasukan.

Biarpun memiliki rekod yang baik bersama Sarawak dan Terengganu pada saingan Liga Super lalu, ianya bukan jaminan untuk skuad Seladang memandang rendah kemampuan lawan.

Begitu juga dengan Kedah, wakil dari saingan Liga Perdana yang belum pernah ditemui musim ini, (kecuali pada aksi persahabatan lalu).

Perlu diingat, skuad Hijau Kuning itu juga adalah antara ‘penghalang’ kepada kemaraan Perak ke saingan suku akhir Piala Malaysia musim lalu hasil kemenangan cukup bermakna di Ipoh pada saingan peringkat kumpulan.

CETUS KONFLIK

Agak menghairankan juga apabila khidmat pengarah teknikal dan taktikal pasukan, Karl Heinz Weigang tidak disambung bagi saingan Piala Malaysia yang dijadualkan bermula 13 Ogos depan.

Sebaliknya, bekas pengendali Negeri Sembilan, Divaldo Alves menjadi pilihan untuk membantu ketua jurulatih, Abu Bakar Fadzim bagi membentuk kesebelasan mantap mengharungi Piala Malaysia.

Biarpun rekod Alves diragui kebanyakan peminat serta penyokong tegar Perak, kredibiliti pengendali yang pernah terpilih sebagai jurulatih terbaik bagi musim 2011-2012 ketika mengemudi Persebaya 1927 dalam saingan Liga Super Indonesia (ISL), pastinya menjadi taruhan.

Apa pun, pihak pengurusan pasukan pastinya telah merencana strategi terbaik demi menjamin kemaraan lebih jauh skuad Kejor Yeop Skor itu dalam saingan Piala Malaysia kali ini.

Apatah lagi dengan aksi cemerlang keempat-empat pemain import, Hassan Daher, Marco Tulio, Milan Purovic dan Abdulafess Abdulsalam yang dilihat sudah mula membentuk keserasian bersama kesebelasan pemain tempatan sedia ada.

BAKAT MUDA

Tanpa pemain pinjaman, Perak dilihat bakal bergantung sepenuhnya kepada kudrat kesebelasan pemain muda bagi merintis laluan yang lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia kali ini.

Selain itu, mujur jugalah denda beraksi tanpa penyokong tidak dilaksanakan dengan alasan jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum ditubuhkan.

Justeru kepada semua penyokong, moh kita penuhkan stadium bagi memberi sokongan padu kepada pasukan dan seterusnya membantu menyemarakkan lagi semangat kesebelasan pemain pada saingan Piala Malaysia kelak.

Lagipun, bukankah Perak dikuasai semangat penyokong?

Apa pun, Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin buat semua peminat serta penyokong bola sepak Perak.

Kejor Yeop Skor!

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");