Membawang Hari Ini

Filem seram pertama Nick Cheung

filem seram

NAMA Nick Cheung bukan lagi asing dalam industri perfileman di Hong Kong, lebih-lebih lagi dalam filem bergenre aksi.

Namun, bergerak seiring perkembangan kariernya, Cheung mengikut jejak beberapa rakannya yang kini beralih bidang dalam pengarahan filem.

Lari daripada filem yang menjadi makanannya, Cheung memberanikan diri menulis, mengarah dan dalam masa yang sama berlakon dalam filem terbaru, Hungry Ghost Ritual.

Filem ini mengisahkan Zhong Hua (Nick Cheung), yang membesar dalam keluarga opera Kantonis, pulang ke Malaysia selepas perniagaannya gagal di China.

Kepulangannya ke kampung halaman tidak mendatangkan kebahagiaan apabila sukar untuk mencari pekerjaan dan mengalami konflik dengan bapa tirinya, Xiaotian yang melibatkan diri di dalam opera Kantonis bersama kakak tirinya Jing Jing.

Apabila bapa tirinya dimasukkan ke hospital, Zhong terpaksa mengambil alih kerja bapanya sebagai ketua kumpulan opera. Bagaimanapun Zhong berdepan kesukaran kerana tidak mendapat kepercayaan ahli kumpulan yang lain kecuali Xiu Yin (Annie Liu), yang bersetuju memberinya peluang.

Namun kebetulan ketika hari pertama Zhong melakukan persembahan, ia jadi pada hari Festival Pemujaan Hantu Lapar dan dek kerana itu, Zhong mengalami pelbagai peristiwa pelik.

Dek kerana gagal pada persembahan pertama, Zhong dimarahi ahli kumpulannya. Namun dia tidak berdiam diri dan memasang kamera litar tertutup bagi mencari punca kejadian pelik yang dialaminya.

Perkara yang penulis suka mengenai filem ini adalah jalan cerita yang disediakan Cheung sedikit sebanyak memberi pemahaman kepada bangsa selain daripada Cina untuk memahami mengenai festival hantu lapar, ritual-ritual yang dijalankan tanpa rasa kekok atau berlebihan.

Seram, bercelaru

Namun apa yang mengecewakan penulis adalah penyusunan plot yang sedikit bercelaru dan setiap kejadian-kejadian yang berlaku tidak diperjelaskan dengan baik; mengapa ia berlaku.

Bahkan filem ini bagai terus berjalan dari mula kejadian seram hingga ke penghujungnya tanpa ada penjelasan kukuh mengapa perkara seram itu terjadi.

Mujur Cheung cukup cemerlang dalam menyediakan babak-babak seram yang mampu mengejutkan penonton.

Biarpun babak seram itu tidak bergerak seiring dengan perjalanan plot, namun babak-babak tersebut boleh diterima dan masih mampu memberi rasa kejutan dan ketakutan kepada penonton.

Barangkali jika Cheung memberi kepercayaan kepada aktor lain untuk menggantikan tempatnya, dan dia hanya menumpu kepada tugas pengarahan, tidak mustahil Hungry Ghost Ritual menjadi sebuah filem menarik untuk ditonton.

Lakonan hebat

Dari sudut pemilihan pelakon pula, gandingan Cheung bersama Carrie Ng cukup mengagumkan. Namun ada kalanya filem ini seperti mahu menonjolkan Cheung seorang.

Begitu juga dengan lakonan aktres Malaysia, Karena Teo yang cukup menyerlah sepanjang penglibatannya dalam filem itu.

Bagaimanapun lakonan aktres dari Taiwan, Annie Liu dan Cathryn Lee agak mengecewakan. Selain masalah dialek, kehadiran mereka juga tidak banyak membantu mencantikkan filem itu.

Pendek kata, jika mereka tidak ada dalam filem itu pun tidak mengapa.

Namun secara keseluruhannya filem ini masih menarik untuk ditonton, lebih-lebih lagi babak seramnya yang begitu baik.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");