Jenayah

Gadai nyawa balik beraya

pendatang

Pelabuhan Klang: Perairan Banting dan Sepang terus menjadi pilihan kegiatan penyusupan keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang mahu pulang menyambut Aidilfitri di negara mereka, hujung bulan ini.

Kedua-dua perairan ini dikatakan antara pilihan tekong memandangkan jarak perjalanan menuju ke Indonesia seperti Pulau Rupat dan Dumai di Sumatera dengan hanya dua jam perjalanan menggunakan bot laju.

Terbaru, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Klang menahan 30 warga Indonesia masing-masing 23 lelaki, lima wanita, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang bayi perempuan awal pagi semalam.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Klang Kapten Mohd Aliyas Hamdan berkata, pihaknya menahan sebuah bot gentian kaca yang dinaiki warga asing terbabit selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan jam 5.30 pagi.

Katanya, bot berkenaan ditahan tiga batu nautika berhampiran Sungai Air Hitam, Kelanang, dekat Banting oleh sepasukan anggota APMM yang menjalankan Op Tumpas.

Beliau berkata, semua yang ditahan berusia antara 10 bulan dan 42 tahun berhimpit di dalam bot berkenaan tanpa menggunakan jaket keselamatan.

Katanya, sebelum ditahan, Sistem Pengawasan Laut Maritim mengesan sebuah bot masuk ke kawasan perairan negara dalam keadaan mencurigakan jam 12.30 tengah malam semalam sebelum pihaknya membuat intipan dan risikan.

Menurutnya, bot yang dipenuhi penumpang itu dikesan pihak berkuasa ketika cuba keluar dari perairan negara dan menuju ke perairan antarabangsa lima jam kemudian.

“Siasatan awal mendapati warga asing terbabit perlu membayar RM700 hingga RM1,500 seorang kepada sindiket tertentu untuk ke Pulau Rupat, Indonesia dan diletakkan di lokasi tertentu sekitar Banting sebelum sebuah bot gentian kaca membawa mereka ke negara jiran.

“Siasatan mendapati ada di antara warga asing yang ditahan mempunyai pasport, namun kebanyakan nya sudah tamat visa bekerja mahu pun tidak memperbaharui permit kerja masing-masing menyebabkan mereka tidak boleh keluar menggunakan laluan sah,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

Menurutnya, semua yang ditahan untuk sementara waktu bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 5(1) Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Tekong bot yang ditemui semalam mendedahkan, dia menerima bayaran RM300 untuk satu perjalanan membawa warga asing masuk ke Indonesia.

Lelaki berusia 32 tahun itu berkata, walaupun menyedari risiko yang perlu dihadapinya, namun upah yang tinggi menyebabkan dia sanggup menyabung nyawanya dan penumpang dengan merentas Selat Melaka.

“Saya kerja kampung saja di Pulau Rupat. Gaji di sana (Indonesia) tidak besar menyebabkan saya perlu bekerja sebagai tekong untuk membawa pendatang pulang ke Indonesia. Saya hanya menerima upah daripada tauke selepas semua kerja selesai,” katanya.

Penumpang yang dikenali sebagai Rosmaini, 42, berkata, dia bersama anak lelakinya berusia enam tahun menyabung nyawa menaiki bot walaupun mengetahui nasib menimpa rakan senegaranya yang karam bulan lalu di perairan sama.

“Saya tiada pilihan kerana permit kerja saya sudah tamat tempoh. Saya perlu membayar RM3,100 untuk memperbaharuinya dan saya tidak mempunyai duit sebanyak itu. Mahu tidak mahu saya menaiki bot kerana mahu menyambut Hari Raya bersama suami dan dua lagi anak di Padang, Indonesia,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");