Berita Hari Ini

Gubal Akta Halal lebih penting

datuk nadzim johan

CADANGAN untuk mempopularkan penggunaan kit halal dalam kalangan masyarakat Islam memang bagus.

Bagaimanapun bagi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), usaha itu seakan tidak sempurna selagi tidak digubal undang-undang yang khusus untuk melindungi umat Islam daripada penipuan dan manipulasi berkaitan isu halal yang dari semasa ke semasa sering dipalit dengan pelbagai kes mencurigakan.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, sudah 15 tahun umat Islam negara ini menunggu penggubalan Akta Halal yang hingga sekarang belum jadi kenyataan meskipun sudah banyak kenyataan demi kenyataan dibuat oleh mereka yang berkuasa mengenai cadangan untuk menggubal dan merealisasikannya.

Oleh kerana itu, orang pun tertanya-tanya mengapa sampai sekarang masih tidak nampak usaha kerajaan mahu jadikan undang-undang halal itu suatu realiti?

“Kita selalu sebut Islam agama rasmi Persekutuan. Pemerintah juga Islam tetapi mengapa masih takut-takut nak bawa undang-undang ini?” katanya.

Menurut Nadzim, sudah sampai masa penguatkuasaan isu halal tidak lagi bergantung pada Akta Perihal Dagangan (APD).

“Semuanya letak bawah Akta Perihal Dagangan. Sukar untuk kes-kes yang seharusnya di bawah bidang kuasa Jakim dibawa ke muka pengadilan.

Sebagai contoh, jika dikenal pasti ada produk yang menggunakan logo halal palsu atau bahan yang digunakan haram, ini sudah jadi kes bawah bidang kuasa KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) sedangkan yang mengeluarkan logo halal adalah Jakim,” katanya.

Dengan adanya Akta Halal, beliau yakin bidang kuasa Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) akan lebih luas.

Mengenai kit halal, Nadzim menyambut baik langkah itu. Namun teknologi itu katanya, tetap tidak akan bawa kesempurnaan selagi undang-undang berkaitan tidak digubal.

“Tidak guna kalau ada teknologi tetapi pihak berkuasa tidak dapat bertindak ke atas mereka yang mengaut untung hasil perniagaan yang menipu pengguna Islam,” tegasnya.

Bagaimanapun beliau tetap melihat teknologi itu sebagai sesuatu yang sangat positif jika dimanfaatkan untuk memudahkan lagi kerja penguat kuasa memeriksa produk di pasaran dan seterusnya mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menyalahgunakan logo halal.

“Saya difahamkan alat ini sangat cepat keputusannya dan ini sudah tentu akan memudahkan tugas penguatkuasa. Yang penting kita ada undang-undang yang tegas untuk menguruskan mereka yang cuba menipu pengguna Islam,” katanya.

Dalam pada itu, Nadzim tetap yakin, apabila kedua-dua, kit halal dan Akta Halal digunakan secara meluas, juga oleh orang ramai ketika membeli-belah, kes-kes penyalahgunaan logo halal akan berkurangan atau terhapus dengan sendiri melainkan kes yang benar-benar terpencil.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");